Masih Tiada Penyingkiran Dato Nash Diumum Peserta Terbaik Hijrahkan Laguku Minggu Kedua
Minggu kedua rancangan realiti hiburan Islamik terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku (HL) yang telah membuka tirai kedua pada malam tadi memberi kejutan apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri yang bertindak selaku hos rancangan mengumumkan kesemua lapan peserta mara ke minggu ketiga
Keputusan ini dilihat bagaikan memahami kehendak penonton yang masih tidak puas melihat kesemua bintang HL berdakwah menerusi lirik dan melodi lagu
Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar berkata tiada penyingkiran bukan tanda selamat. Konsep rancangan ini masih kekal dimana hanya seorang penyanyi bakal bergelar juara HL
"Minggu ini adalah minggu bonus kepada para peserta. Peluang tidak harus disia-siakan. Mereka perlu kembali pada minggu hadapan dengan lebih baik.
"Kami menjangkakan gaya penyampaian dakwah serta strategi menghijrahkan lagu dan melodi yang lebih mantap pada minggu seterusnya dengan tema berlainan yang pastinya lebih mencabar.
Episod kedua HL juga dilihat sedikit berbeza apabila pihak produksi menampilkan juri tambahan iaitu Hazamin Inteam
"Minggu pertama HL dilihat sedikit tegang apabila media sosial kami dipenuhi dengan lambakan komen-komen netizen yang mahukan juri lain yang berpengalaman luas dalam penggubahan lirik lagu ketuhanan selain Fauzi Marzuki
"Kami yakini kredibiliti Fauzi Marzuki sebagai juri tetap. Namun kami ambil kira juga pandangan penonton yang mahukan penambahbaikan.
"Minggu kedua dan seterusnya, kita tambah lagi seorang juri jemputan yang berpengalaman dalam rencah lirik lagu dakwah dan ketuhanan," jelas Zulkarnaen
Bertemakan Growing Up, persembahan minggu kedua malam tadi meninggalkan kesan mendalam apabila separuh daripada artis memilih untuk membuka persembahan mereka dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta potongan doa
Zaf VE melantunkan doa buat ibu bapa. Shahir Zawawi pula membaca potongan ayat dari surah Ar-Rahman. Manakala Dato' Nash serta Rahmad Mega mengalunkan kalam Allah dari surah As-Shams dan Al-Baqarah
Walau bagaimanapun, kekuatan vokal, lirik serta persembahan mantap Dato' Nash yang menyampaikan lagu Asli menambat hati juri lantas diumumkan sebagai juara persembahan dengan peratusan paling tinggi iaitu 77 peratus
Juara mingguan membawa pulang wang tunai bernilai tiga ribu ringgit Malaysia. Namun, Dato' Nash menyumbangkan wang kemenangan tersebut kepada salah sebuah badan NGO yang akan dikunjunginya bersama pasukan CSR Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku iaitu Pusat Genius Kurnia
Sementara itu, Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih mendapat markah kedua tertinggi (72 peratus) diikuti Iwan Shahman di tempat ketiga dengan lagu Solatlah Dulu (66 peratus)
Kesemua peserta diadili oleh tiga juri iaitu Fauzi Marzuki sebagai juri tetap manakala Hazamin Inteam dan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff pula sebagai juri jemputan
Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur
Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam
Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mahagosip.com/2021/11/masih-tiada-penyingkiran-dato-nash.html