Man Kidal Diisytihar Asnaf Sementara
Kesempitan hidup gitaris legenda, Man Kidal, 57, yang hilang mata pencarian sejak penularan pandemik dan keadaan bertambah sukar apabila disahkan positif COVID-19, menarik perhatian banyak pihak termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Isteri Man Kidal, Norlaila Yusof memberitahu, pegawai LZS bertandang ke rumah mereka di Damansara, Petaling Jaya, Jumaat lalu, untuk menghulurkan bantuan.
"LZS memberi bekalan barangan keperluan asas. Pegawai lembaga itu juga meminta saya mengisi borang bagi mendapatkan bantuan pada masa depan.
"Malah, abang (Man Kidal) turut didaftarkan sebagai asnaf sementara sehingga dapat bangkit semula. LZS memaklumkan mereka akan membantu sedaya-upaya.
"Kecil atau besar sumbangan kami terima dengan lapang dada ketika bergelut ini," katanya kepada BH Online.
Minggu lalu, BH Online mendedahkan Man Kidal berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja sejak lebih setahun lalu.
Norlaila dilaporkan berkata, hidup mereka sukar sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu apabila kerajaan melarang aktiviti persembahan terbuka demi mengawal penularan COVID-19.
Norlaila yang juga pengurus Man Kidal memberitahu, suaminya yang menjadikan bidang muzik sebagai periuk nasi, hilang pendapatan akibat tiada 'job'.
Norlaila berkata, dia dan suami sedia menerima apa sahaja pemberian orang ramai.
"Tidak kisahlah hendak bagi apa-apa, kami terima. LZS juga akan membantu abang termasuk memberi wang bulanan, tunggakan bil utiliti dan sewa rumah," katanya.
Norlaila berkata, dia dan suami berterima kasih kepada pihak yang bermurah hati membantu mereka.
"Terima kasih kepada rakan wartawan yang sudi menulis kisah kami. Tidak ketinggalan, semua pihak dan individu yang menghulurkan bantuan.
"Selama ini, kami tidak pernah meminta atau mengeluh hidup susah. Banyak bertawakal apa yang akan terjadi. Cuma pada satu tahap, kami tewas hingga terpaksa mengibarkan 'bendera putih'.
"Apabila jadi begitu, buat apa nak malu... Kami reda. Namun, tidak sangka, ramai yang begitu baik membantu kami," katanya.
Mengenai keadaan kesihatan mereka selepas disahkan positif COVID-19, Norlaila berkata, mereka masih melakukan kuarantin kendiri dengan berkurung dalam bilik.
Pasangan itu menetap bersama adik Norlaila dan dua cucu mereka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/07/man-kidal-diisytihar-asnaf-sementara.html