Malu Apa 20 Tahun Selepas Sh T
  Faisal Tehrani 

Dalam  tahun 1999, arwah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad menulis dan  menerbitkan sebuah novelet bertajuk “Shit” yang serta-merta menimbulkan  kehebohan politik dan juga pelbagai debat sastera. 
Sebagai sebuah satira, Shit mengambil bentuk satira Juvenalia yang  bahasanya kasar, biadab, tidak sopan, kurang ajar dan bertujuan  menyakitkan hati sasaran. 
Oleh sebab Shit terbit di saat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim  sebagai timbalan perdana menteri Malaysia pada waktu itu, ramai yang  percaya satira ini merupakan refleksi keadaan politik.
Justeru, ramai yang percaya Shit atau kepala barisan taik yang  dimaksudkan oleh Shahnon adalah Tun Dr Mahathir Mohamad sementara watak  wirawan, ekor taik yang ingin bertaubat dan melakukan reformasi pula  adalah Anwar. 
Akan tetapi pada malam 9 Mei 2018, dan awal pagi 10 Mei 2018, rakyat  Malaysia membuat kejutan besar yang amat bersejarah iaitu untuk memilih  Dr Mahathir kembali mengepalai negara. Tidak lama kemudian, Anwar  dibebaskan dari penjara malah menerima pengampunan diraja.
Bagaimanakah kita boleh membaca Shit 20 tahun setelah penulisan dan  penerbitannya? Ini adalah soalan yang penting saat kita menyelak  halaman-halaman busuk Shit. 
Seyogia pertama diingatkan Shit adalah sebuah novel mengenai politik.  Ia adalah luahan kemarahan Shahnon terhadap politik yang menurutnya  kotor, jijik, busuk dan menjijikkan: 
“Tapi perihal mengeluari diri sendiri itu amat jarang-jarang berlaku  dalam sejarah kepimpinan kepala taik jenis ini kecuali sudah tak  tertahan lagi dengan kebusukan yang membelit diri. Namun samada  dikeluarkan atau mengeluari diri, yang busuk tetap busuk juga. Yang  membusukkan tetap membusukkan juga.” 
Kedua, Shit tidak semestinya mengenai Umno dan Majlis Zenith Tahi,  tidak pula semestinya mengenai Majlis Tertinggi Umno. Gambaran yang  diberikan Shahnon dalam Shit adalah umum yang mana boleh sahaja jatuh ke  atas, katakan, Presiden Donald Trump dan pasukan kabinetnya; atau boleh  juga jatuh terhadap Anwar dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. 
Ia juga boleh jadi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ahli Dewan Harian  PAS. Ia boleh jadi mana-mana organisasi politik hatta di peringkat  kampung, pejabat mahupun syarikat. 
Ia adalah mengenai orang yang gila kuasa, dan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa dan merebut kuasa:
Pergolakan dalam kawasan memang di luar duga. Seribu satu boleh  terjadi. Yang tak pernah terfikir pun tiba-tiba berlaku macam tak ada  apa-apa pula. Dan pergolakan itu biasanya berkisar dan berputar pada  paksi-paksi itu juga: rebutan mahu jadi kepala taik, rebutan untuk rasa  kenyang lebih dari yang kenyang, rebutan untuk menjadi yang punya  nombor-nombor, yang punya gelaran-gelaran. 
“Kadang-kadang rebut lagi untuk menjadikan diri lebih busuk dari  kebusukan yang sedia wujud.
Bahkan Majlis Zenith Tahi adalah mengenai  elit politik yang menindas, tidak semestinya jatuh di atas satu-satu  organisasi.” 
Ketiga, Shit mengetengahkan gejala-gejala songsang dalam politik  (sekali lagi, ia tidak semestinya politik Malaysia tetapi boleh jadi  sahaja politik di mana-mana pun). Antara lain ialah persoalan hipokrasi  politik. Di dalam Shit, Shahnon menyebutkan: 
“Banyak yang pura-pura menyukainya tapi yang sebenar tidak  menyukainya. Banyak yang pura-pura memujinya tapi yang sebenar  menjijikkannya. Berbagai-bagai cara tenaga-tenaga lain itu mengorak  langkah dan membuat berbagai-bagai muslihat, malah melontarkan seribu  satu makihamun, berbagai-bagai fe’el, berbagai-bagai fitnah supaya dia  cepat-cepat dikeluarkan dari domain kekuasaan atau dia sendiri  mengeluari dirinya dari kekuasaan.” 
Satu lagi budaya politik tidak sihat yang disebut Shahnon ialah  ketiadaan inquiry mind, yang mana semua dilanda budaya angguk dan pak  turut. 
Harus diingatkan budaya angguk ini malah boleh berlaku di dalam apa  juga organisasi termasuk organisasi seperti fakulti di sebuah  universiti. Ini kerana saya masih ingat bagaimana Cikgu Shahnon sering  mengkritik budaya angguk dalam kalangan cendekiawan sehingga beliau  mengeluarkan satu terma – “profesor kangkung” untuk menggambarkan  perangai angguk dan minion ini. 
Saya petik dari Shit: 
“Dia memalingkan kepalanya yang waktu itu agak lonjong sedikit ke  belakang dan sempat melihat para pengikutnya dalam barisan tetap  berkapukan pada landas ketulan yang tirus memanjang dalam usus besar  dalam domain kekuasaan itu. 
“Mereka semua mengangguk-angguk dan dia sebagai kepala pun mengangguk  juga. Memang anggukan sudah pun menjadi budaya peradaban taik yang  dikepalainya selama hampir dua puluh tahun ini. Sebagai kepala, dia  memang cukup sedar tentang budaya anggukan ala pokke itu.” 
Sebuah lagi budaya yang memualkan dalam politik adalah budaya taasub  di mana apa sahaja yang bos lakukan, dipupuk supaya jangan berasa malu.  Sebaliknya diraikan dan digalakkan tanpa segan silu. 
Shahnon menulis: 
“PM ketawa dalam diam dan dalam kebusukan dirinya. Pernah sekali PM  sengaja menguji ketaatan para ketulan anggota barisannya untuk  benar-benar tahu sejauh mana kepatuhan para anggota dalam barisan. 
“Siapa saya? PM menyoal begitu saja. P*kiM*k! Jawab mereka. 
“Lagi sekali PM menyoal dan kali ini PM sengaja melebihkan liuk  lintuk kepala taiknya itu. Siapa saya? Para anggota lantas menjawab:  P*kiM*k! Cuba laungkan nama itu sepuluh kali? P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k!  P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! 
“Yang pendeknya? P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M.”
 Budaya “malu apa bosku” seperti di atas masih lagi berleluasa di  Malaysia Baru, dan harus digerakkan agar dapat dimerdekakan minda  tertawan ini. 
Shit adalah mengenai budaya ketua yang tidak boleh ditegur dilarang,  dan apabila ditegur orang bawah, penguasa akan menggunakan kekuasaan  untuk menindas kembali staf murbawan. Ia adalah mengenai kecilnya ruang  demokrasi dan suburnya budaya autoritarian. 
Kita misalnya boleh membaca mengenai senario di bawah dan melekatkan  kepada mana-mana pemimpin politik. Ia tidak terhad untuk menggambarkan  suasana dalam tahun 1999, tetapi juga 20 tahun selepas: 
“Kali ini aku tidak mahu keluar melalui lobang keramat itu, bisik PM.  Jangan siapa berani mengeluarkan aku melalui lobang keramat itu,  katanya agak kuat. Aku tidak mahu keluar. Sesiapa ingin keluar dulu,  boleh keluar sendiri-sendiri tapi aku sendiri tidak mahu keluar. Aku  tetap ingin berada di dalam perut kekuasaan pemerintahan ku ini.” 
Keempat, saya tidak fikir Shit adalah mengenai krisis politik pada  tahun 1999, atau paling-paling Shit harus dibebaskan dari insiden  bersejarah itu. 
“Shit harus dibaca dengan lebih bebas, tanpa terikat dengan zaman dan  tokoh tertentu. Kita tentu sahaja tidak mahu menghujahkan yang watak  wirawan adalah mengenai Anwar memandangkan di dalam Shit, watak reformis  tersebut turut dianggap sebagai tahi juga. 
Saya tidak fikir kelompok yang memperjuangkan reformasi dalam tahun  1999 menerima sepenuhnya muatan satira Shit. Inilah yang dikatakan oleh  Shahnon mengenai watak wira/reformis itu: 
“Persoalan wira yang tiba-tiba moncol dan ingin berjuang mengeluarkan  PM dan para mengikutnya yang wujud selama ini dalam sistem taik bukan  persoalan ringan. Nampak ringan saja kerana kelibat wira itu belum  begitu ketara. Memang wira itu pandai bersembunyi di celah-celah ketulan  taik dalam barisan dan mengakui pula dirinya sebagai anggota barisan.  Wajahnya sama. Baunya pun sama juga iaitu busuk dan membusukkan.  Bentuknya pun sama juga bergantung pada kemutan dan lagak usus besar  yang melingkari kawasan.”
 Akhir sekali di dalam satira ini, Shahnon berpesan kepada watak  wira/reformis agar melakukan reformasi pada diri sendiri terlebih dahulu  sebelum menyeru dan memperjuangkan reformasi:
 “Kau kalau tak reformasi diri kau terlebih dulu seluruhnya, kau  takkan berjaya mereformasi sistem politik taik barisan yang busuk lagi  membusukkan ini. Kau sama saja dengan ketulan taik di barisan taik kalau  kau tak reformasi diri kau terlebih dulu.
 “Selama ini kau sudah tenggelam dan lemas dalam buih dan kancah  lendir lebuhraya kebusukan. Kini kau juga akan kembali tenggelam dan  kembali lemas dalam gelombang dan taufan rakyat kalau kau tidak mengubah  diri kau seluruhnya kembali ke asal kerana kau kini sebenarnya masih  berada dalam kancah lebuh raya kebusukan walaupun secara fisik kau sudah  berada di luar lebuhraya kebusukan.”
 Jika kita bertegas ingin mengatakan Shit’ adalah mengenai era 1999,  kita akan terpaksa akur pula dengan pandangan Sophie Lemière, felo di  Ash Center for Democracy, Universiti Harvard apabila beliau menegaskan:  “Anwar may be his own biggest liability” kerana masih di takuk sama dan  masih bergelumang dalam wacana dan gagasan, atau kincah yang sama  seperti mana dalam tahun 1999 iaitu tahun Shit diterbitkan.
 Lemière yang dilaporkan berdepan dengan masalah untuk masuk ke  Malaysia minggu ini ikut menambah: “He is selling the same discourse and  rhetoric he had for the past 20 years… [Whereas] Mahathir has been able  to reinvent himself from authoritarian leader to credible democratic  leader.
He has completely rewritten history. [Anwar] has yet to reinvent  himself and make new politics in the new Malaysia.”
 Untuk rakyat Malaysia, gejala kebusukan ala-Shit pada tahun 1999 jangan dibiarkan membusuk kembali dalam tahun 2019.
 Kita tidak mahu mewariskan Malaysia yang busuk kepada generasi baru mendatang tentunya.
 Kalau memang tahi dan busuk kepala taik itu, jangan kita ikutkan. Kita tidak perlu menjadi barisan taik.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/malu-apa-20-tahun-selepas-sht.html