Malaysia Mampu Kendali Vaksin Rantaian Sejuk Covid 19 Kata Who
        Imran Ariff

Vaksin Covid-19 memerlukan penyimpanan dan penghantaran di bawah suhu 0°C. (Gambar AP)PETALING JAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menolak kebimbangan  bahawa Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam pengedaran vaksin yang  memerlukan penyimpanan dan penghantaran di bawah suhu 0°C kerana ia  membuktikan keupayaanya pada masa lalu.
Berucap dalam forum maya bertajuk “Recover Better – Stand Up for  Human Rights”, ketua misi dan wakil WHO di Malaysia, Brunei dan  Singapura Dr Lo Ying-Ru berkata, keupayaan negara untuk menangani  penularan polio pada awal tahun ini menunjukkan keupayaan logistik sudah  sedia ada untuk penghantaran dan penyimpanan rantaian sejuk.
“Vaksin polio yang diberi secara oral (OPV) yang didermakan daripada  stok WHO kepada kanak-kanak di Sabah memerlukan penyimpanan pada suhu  -80°C, jadi kita tahu Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengedar vaksin  pada prasarana simpanan dan mengurusnya,” katanya.
Menurut data awal mengenai vaksin Covid-19 yang diterbitkan, vaksin  yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech dan Moderna perlu dikekalkan dalam  suhu yang sangat sejuk, iaitu masing-masing di bawah suhu -70°C dan  -20°C sepanjang proses penghantaran dan penyimpanan.

Dr Lo Ying-Ru.
“Ketika penularan polio, kita dapat membawa masuk vaksin pada suhu di  bawah -80°C. Kita menerimanya di gudang khas Kementerian Kesihatan dan  ia diedarkan ke Sabah. Jadi kita tahu ia berkesan dan Malaysia boleh  melakukannya,” kata Lo.
Beliau berkata kemampuan mengedar vaksin Covid-19 secara adil dan  mencukupi penting bagi memastikan usaha mengekang penularan wabak itu di  peringkat tempatan dan global tidak terjejas.
Ia mengulangi kenyataan Menteri Luar Hishammudin Hussein semasa ucapan pembukaannya pada forum berkenaan.
Beliau berkata “akses kepada vaksin yang mampu dibayar, boleh diakses dan saksama adalah penting.”
   “Vaksinasi adalah hak asasi manusia yang mesti dihormati, dilindungi dan dipenuhi,” katanya.
Forum berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia  Dunia 2020 dan dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia  Malaysia, Kementerian Luar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan  Perdana Menteri dan PBB di negara ini.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/malaysia-mampu-kendali-vaksin-rantaian.html