Malaysia Catat Kadar Pemilikan Rumah Sebanyak 78 Peratus Pada 2024
Malaysia Catat Kadar Pemilikan Rumah Sebanyak 78 Peratus Pada 2024
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan satu Laporan Survei Kemudahan Asas (BA) yang memaparkan tahap akses isi rumah warganegara Malaysia.
DOSM melaporkan bahawa Malaysia mencatatkan kadar pemilikan rumah sebanyak 78.0 peratus pada tahun 2024 dengan akses hampir menyeluruh kepada elektrik (99.9 peratus) dan air paip (97.2 peratus).
“Pemilikan rumah mengikut etnik menunjukkan isi rumah Bumiputera merekodkan 75.0 peratus berbanding 73.3 peratus sebelum ini,” ujar Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Bekalan air berpaip terawat pula mencapai 97.2 peratus di peringkat nasional. Liputan bekalan elektrik pula hampir menyeluruh pada kadar 99.9 peratus.
“Perkhidmatan kutipan sampah juga turut meningkat kepada 75.4 peratus di seluruh negara. Penemuan ini menunjukkan isi rumah di Malaysia menikmati akses yang kukuh terhadap perumahan dan utiliti asas merentasi kumpulan pendapatan dan etnik,” ujarnya lagi.
Rakyat Malaysia juga terus mendapat manfaat daripada ketersediaan kemudahan kesihatan yang signifikan.
Sebanyak 97.8 peratus isi rumah berada dalam lingkungan 5 kilometer dari pusat kesihatan awam, manakala 92.8 peratus berada pada jarak yang sama daripada fasiliti kesihatan swasta.
“Dapatan ini menunjukkan isi rumah di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan perubatan.
“Angka ini turut membuktikan bahawa kemudahan kesihatan masih mudah dicapai oleh majoriti penduduk, selaras dengan matlamat nasional untuk memastikan akses kesihatan inklusif,” tambahnya.
BACA: Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi & Diesel Di Semenanjung Turun
Selain itu, institusi pendidikan turut mudah dicapai oleh isi rumah di Malaysia. Laporan dari DOSM merekodkan bahawa 98.7 peratus isi rumah berada dalam jarak 5 kilometer dari sekolah rendah, manakala 95.9 peratus dari sekolah menengah dan 98.2 peratus dari tadika awam.
Seterusnya, tadika swasta pula berada dalam jarak 5 kilometer dari 88.5 peratus isi rumah. Oleh itu, penemuan ini menunjukkan bahawa kemudahan pendidikan berada dalam jarak yang dekat dan mudah diakses.
Bukan itu sahaja, isi rumah di negara ini juga semakin dilengkapi dengan teknologi penting yang menyokong komunikasi, pembelajaran dan akses kepada maklumat.
Selain itu, pemilikan telefon pintar juga merekodkan sebanyak 98.4 peratus, manakala langganan Internet pula meningkat kepada 99.6 peratus berbanding 96.4 peratus sebelum ini.
Pemilikan komputer riba juga meningkat kepada 57.6 peratus berbanding 53.1 peratus terdahulu dan ini mencerminkan peningkatan akses kepada peralatan digital dan kesalinghubungan.
Di samping itu, pemilikan penapis air turut meningkat kepada 72.0 peratus dan penghawa dingin kepada 68.8 peratus. Pemilikan kereta juga turut meningkat kepada 92.4 peratus dan motosikal kepada 78.4 peratus.
Jadi, ini menunjukkan peningkatan keupayaan mobiliti dalam kalangan isi rumah.
Bagi kadar pemilikan rumah pula, tahun 2024 mencatatkan jumlah yang tinggi dengan kebanyakan negeri mencatatkan kadar melebihi 80 peratus.
Pemilikan tertinggi direkodkan di Melaka dengan 85.6 peratus, Perlis 85.8 peratus, Kedah 85.3 peratus, Kelantan 85.0 peratus dan Perak 85.2 peratus.
Sarawak pula 84.5 peratus dan beberapa wilayah persekutuan yang lebih berbandar mencatatkan kadar lebih rendah termasuk W.P. Kuala Lumpur 61.4 peratus dan W.P. Labuan 61.1 peratus, W.P. Putrajaya mencatatkan 27.1 peratus.
“Perbezaan ini mencerminkan faktor demografi, keadaan pasaran perumahan dan ciri bandar-luar bandar di setiap negeri,” katanya.
Bagi pemilikan kelengkapan isi rumah pula, pemilikan telefon pintar kekal tinggi di semua negeri dan kebanyakannya melebihi 96 peratus.
Pemilikan kereta juga menunjukkan tahap kukuh secara keseluruhan, dengan Pulau Pinang mencatatkan 97.3 peratus, Johor 96.3 peratus dan Selangor 96.4 peratus.
Beberapa negeri lain seperti Sabah dan Sarawak mencatatkan peratusan pemilikan yang rendah, masing-masing 82.5 peratus dan 83.5 peratus.
BACA: BNM Tawar Syiling Peringatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Ulang Tahun DOSM Ke-75
Oleh itu, melihat kepada kemajuan ini, isi rumah di Malaysia terus menunjukkan pemilikan rumah yang kukuh yang merentasi kumpulan pendapatan dan etnik, akses meluas kepada bekalan air berpaip, elektrik dan perkhidmatan kutipan sampah, jarak yang dekat kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan.
Selain itu, ketersediaan teknologi digital, peralatan isi rumah, dan hiburan pilihan hiburan yang pelbagai.
“Penemuan ini menegaskan peningkatan positif dalam taraf hidup dan kemudahan akses kepada kemudahan asas bagi keluarga di seluruh negara,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Malaysia buat pertama kalinya berjaya merekodkan kedudukan teratas dunia dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 buah negara lain.
Pencapaian ini menandakan lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.
Sumber: DOSM
The post Malaysia Catat Kadar Pemilikan Rumah Sebanyak 78 Peratus Pada 2024 appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/24/malaysia-catat-kadar-pemilikan-rumah-sebanyak-78-peratus-pada-2024/