Majikan Perlu Hormati Kebebasan Beragama Kata Suhakam
Staff Writers MALAYSIA NOW
Suhakam mengingatkan setiap sektor atau industri supaya memastikan langkah-langkah diambil bagi menghapuskan sikap tidak bertoleransi terhadap agama, ketidaksamaan dan diskriminasi.
Hak asasi untuk mengamalkan agama harus dihormati majikan dan organisasi. Setiap majikan perlu menghormati kebebasan agama atau kepercayaan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas berlakunya kes dua orang pengawal keselamatan yang dipukul majikan kerana berpuasa.
Suhakam berkata, setiap sektor atau industri harus memastikan agar langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menghalang dan menghapuskan segala bentuk sikap tidak bertoleransi terhadap agama, ketidaksamaan dan diskriminasi.
“Tindakan sebegini sudah tentu tidak memberikan motivasi kepada pekerja untuk bekerja lebih kuat atau mempromosikan persekitaran pekerjaan yang sihat sebaliknya ia meningkatkan lagi persepsi negatif terhadap majikan dan syarikat di Malaysia yang tidak melindungi dan menghormati hak pekerja,” kata Suhakam dalam satu kenyataan malam tadi.
Sebelum ini media melaporkan dua pengawal peribadi dipercayai dipukul dan menerima ugutan bunuh daripada majikan mereka di Klang, Selangor.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja dengan sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi suspek yang berusia 43 tahun.
Semalam Ahli Dewan Negara Muhammad Zahid Md Arip mempersoalkan Suhakam kerana dilihat berdiam diri berhubung kes dua orang pengawal keselamatan yang dipukul majikan kerana berpuasa.
Dalam kenyataannya, Zahid menyifatkan suspek dalam kes tersebut sebagai “bangsat” kerana melakukan provokasi dan menghina agama Islam sekali gus menyatakan kekesalan terhadap badan hak asasi tersebut kerana tidak bersuara berhubung isu tersebut.
“Sehingga kini walau sudah gempita isu ini di seluruh negara, saya pelik mengapa Suhakam membisu seribu bahasa,” katanya.
Dalam kenyataan malam tadi Suhakam menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan yang terperinci supaya pesalah didakwa atas tuduhan menyerang, memukul dan kesalahan undang-undang yang lain.
“Suhakam dengan tegas menggesa setiap sektor atau industri untuk memastikan agar langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menghalang dan menghapuskan segala bentuk sikap tidak bertoleransi terhadap agama, ketidaksamaan dan diskriminasi.
“Suhakam ingin menekankan akan keperluan untuk kita menyemai budaya hormat menghormati, bertolak ansur, kesaksamaan dan tidak mendiskriminasi dalam masyarakat dan setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang saling menghormati dan meraikan kepelbagaian agama.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/majikan-perlu-hormati-kebebasan.html