Mahu Selamatkan Negara Anda Orang Terakhir Boleh Buat Begitu Ramkarpal Selar Tun M
Kasthuri Jeevendran                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Ramkarpal Singh melahirkan rasa kesal bekerjasama dengan Tun Dr Mahthir Mohamad.             KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menyelar  Tun Dr Mahathir Mohamad serta melahirkan rasa kesal kerana bekerjasama  dengan bekas perdana menteri yang disifatkan sebagai punca kepada apa  yang berlaku terhadap kerajaan hari ini.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, anak kepada mendiang Karpal  Singh itu berkata, beliau pernah meletakkan kepercayaan ke atas Dr  Mahathir yang menjanjikan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri  Anwar Ibrahim.
Namun, katanya, Ahli Parlimen Langkawi itu kini mahu kerajaan  tanpa Anwar, sehingga menimbulkan persoalan mengapa dia berbohong satu  masa dahulu dengan menjanjikan Presiden PKR itu jawatan perdana menteri.
Ramkarpal menarik perhatian mengenai tindakan Dr Mahathir meletakkan  jawatan perdana menteri dengan alasan tidak lagi mendapat sokongan  majoriti tanpa berbincang dengan kerajaannya atau Kabinet ketika itu.
“Sekarang, dia mahu menjadi perdana menteri lagi,” katanya merujuk  kepada cadangan parti Pejuang supaya Dr Mahathir dilantik menjadi  perdana menteri sementara menunggu pilihan raya umum ke-15dengan alasan  hanya beliau boleh menyelamatkan negara.
Artikel berkaitan: Pejuang calonkan Tun M perdana menteri sementara tunggu PRU15
Dr Mahathir merupakan Pengerusi Parti Pejuang di mana anak beliau Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan presiden.
Ahli Parlimen DAPA Bukit Gelugor yang juga seorang peguam itu  menegaskan, sebagai rakyat Malaysia, beliau wajib bertanya pada dirinya  sendiri, tidak ada orang lain (yang boleh menjadi perdana menteri)?
“Adakah kita akan melantik orang sama yang berjanji kepada negara  yang beliau akan melepaskan baton kepada Anwar Ibrahim apabila tiba  masanya, tetapi pada hari ini beliau memberitahu kita Anwar tidak layak  untuk negara kita?” soalnya.
Beliau juga mengaitkan persoalan adakah kenyataan Dr Mahathir yang  bercanggah itu semata-mata mahu meraih undi semasa pilihan raya umum Mei  2018 yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional tumbang dan Pakatan  Harapan mengambil alih dengan teras utama janji adalah menjadikan Anwar  perdana menteri.
Katanya, Dr Mahathir juga menjanjikan segala macam pembaharuan semasa  berkempen untuk memenangi PRU tetapi selepas mengambil alih kerajaan  beliau mengulangi kenyataan tidak menjangkakan kemenangan tersebut.
Ramkarpal berkata, beliau menghormati Dr Mahathir atas apa yang  dilakukan sebelum ini, namun bekas perdana menteri itu telah memusnahkan  kehakiman, menyumbat banyak orang yang menentangnya ke dalam penjara  dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Andalah punca negara ini memerlukan pembaharuan.
“Dan hari ini anda berkata, anda mahu menyelamatkan negara,” katanya  sambil membuat rumusan bahawa Dr Mahathir adalah orang terakhir yang  boleh berbuat demikian. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/mahu-selamatkan-negara-anda-orang.html