Mahkamah Benar Lanjutan Masa Untuk Najib Fail Petisyen Rayuan
Bekas perdana menteri, Najib Razak dijangka akan memfailkan petisyen rayuan dalam kes rasuah RM42 juta dana SRC International hari ini.
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohanan Najib bagi melanjutkan masa untuk memfailkan petisyen rayuan berkenaan pagi ini.
Pada 18 April, Bernama melaporkan Najib memohon lanjutan masa selewat-lewatnya sehingga 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan berkenaan. Permohonan itu difailkan pada 11 April.
Berikutan keputusan mahkamah tertinggi hari ini memberi Najib masa tambahan untuk memfailkan petisyen rayuan pada penghujung hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara membenarkan permohonan bekas menteri kewangan itu.
Anggota panel hakim yang lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini dan Mary Lim Thiam Suan.
“Bagi permohonan SRC (oleh Najib) untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan hari ini, keputusan sebulat suara (diberi) oleh Mahkamah Persekutuan (untuk) memberikan lanjutan itu mulai 11 April.
"Pemohon (Najib) akan memfailkan petisyen rayuan untuk rayuan utama SRC selewat-lewatnya hari ini, 25 April," kata Ashrof kepada media selepas pendengaran permohonan dalam talian.
Mahkamah tertinggi itu masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.
Najib memfailkan permohonan lanjutan masa itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Persekutuan pada 11 April.
Masa diperlukan untuk kaji rekod
Menurut afidavit sokongan yang dikeluarkan kepada media, Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid kesemuanya dan pihak pembelaan hanya menerimanya pada 31 Mac lalu.
Katanya, adalah mustahil untuk pasukan pembelaan meneliti semua rekod rayuan dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat untuk menangani semua isu yang dibangkitkan oleh hakim mahkamah rayuan.
Jelasnya, alasan penghakiman harus diteliti dengan meneliti nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding untuk memastikan ketepatan dalam penemuan, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai.
Bekas penasihat emeritus kepada SRC itu juga sedang berusaha membawa peguam diraja (QC) dari United Kingdom untuk mewakilinya dalam rayuan itu.
Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh pada 28 Julai 2020.
SRC sebelum ini mreupakan anak syarikat 1MDB dan kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2022/04/mahkamah-benar-lanjutan-masa-untuk.html