Lynas Selamat Atau Tidak Itu Saja Tak Perlu Ucapan Politik
Haspaizi Mohd Zain Rakyat khususnya masyarakat yang tinggal berhampiran kilang Lynas mahukan jawapan yang telus tanpa ucapan pemimpin politik berhubung sama ada operasi syarikat pemprosesan nadir bumi di Kuantan itu selamat atau tidak.
Perkara itu disuarakan oleh orang awam yang hadir pada sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas di Kuantan, Pahang hari ini.
Suasana agak ‘panas’ namun tetap terkawal apabila orang ramai yang hadir pada sesi pendengaran awam itu sekadar menyuarakan pandangan masing-masing berhubung operasi Lynas.
“Hari ini saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada orang Kuantan yang jauh berbanding Balok kerana prihatin dengan keselamatan kami, juga orang dari Bentong pun saya dengar prihatin dengan keselamatan kami.
“Kami penduduk kampung pemikiran senang, (kami utamakan) keselamatan, jadi kami harap kepada jawatankuasa ini tentukan secara profesional, selamat atau tidak, itu saja yang kita hendak.
“Kita tak nak dengar ucapan politik, tambah lagi kata-kata orang politik, ia bahaya atau ia tidak bahaya. Orang politik tak kira sebelah mana pun banyak menipu, jadi tak payah lah tipu kami orang kampung,” kata salah seorang peserta yang mendapat sorakan gemuruh hadirin.
Sementara itu, bagi kumpulan anti-Lynas, mereka mendesak supaya operasi kilang di kawasan perindustrian Gebeng itu dihentikan kerana bimbang ia mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Malah kata mereka, jika Lynas merasakan operasi mereka selamat, maka adalah lebih baik kilang berkenaan menjalankan operasinya di Australia dengan membawa pulang lebih 600 rakyat negara ini yang bekerja dengan syarikat itu.
Kerajaan pada 5 November lalu memutuskan sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas diadakan untuk mendengar penjelasan semua pihak berkepentingan termasuk Lynas, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pakar pengurusan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan sinaran radioaktif.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas, Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, berkata pihaknya akan membentangkan laporan kepada kerajaan berdasarkan kepada data dan fakta.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat penilaian semua terhadap operasi Lynas secara telus dan terbuka selain akan memastikan syarikat berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
LIHAT VIDEO DI SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/lynas-selamat-atau-tidak-itu-saja-tak.html