Lupa Tutup Api Goreng Ayam Rumah Musnah Terbakar
Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

 KEADAAN  rumah didiami Anisah Mamat sekeluarga yang musnah dalam kebakaran di  Kampung Baroh, Bachang, Melaka, pagi ini. - UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH  ZAKARYA MELAKA: Gara-gara terlupa sedang menggoreng ayam di atas dapur, rumah  diduduki lima sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh,  Bachang di sini, hari ini. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, kesemua mangsa iaitu  seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya masing-masing berusia 11, 12  dan 16 tahun serta ibunya berumur 75 tahun berjaya menyelamatkan diri.
Mangsa, Anisah Mamat, 41, memberitahu, kejadian berlaku selepas anak  perempuannya berusia 12 tahun terlupa sedang menggoreng ayam di atas  dapur dan hanya menyedari kejadian setelah api telah marak. 
“Ketika kejadian saya sedang mengemas rumah di bahagian hadapan dan  tiba-tiba anak menerpa memberitahu dia terlupa ayam yang sedang digoreng  di atas dapur dan api telah marak.
“Anak sulung lelaki berusia 16 tahun cuba memada api dengan menjirus  air namun api marak dengan cepat kerana bahagian dapur rumah ini  diperbuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ujar Anisah, di terus membawa ibunya yang sakit tua dan ketiga-tiga  anaknya keluar dari rumah tersebut sebelum menghubungi pasukan bomba. 
Tambahnya, rumah tersebut adalah pusaka milik ibunya yang berusia  lebih 50 tahun dan menganggarkan nilai kerugian lebih RM100,000 termasuk  kesemua barangan yang musnah. 
“Saya cuma sempat selamatkan dokumen penting, selebihnya kami  terpaksa biarkan termasuk duit simpanan dan kemungkinan terdapat barang  kemas emak yang disimpan di bilik,” katanya. 
Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat  Melaka Tengah, Timbalan Penguasa Bomba II, Jum’at Tariman berkata,  panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.19 pagi dan sepasukan 12  anggota bersama-sama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan  Kecemasan (EMRS) ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.37 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/lupa-tutup-api-goreng-ayam-rumah-musnah.html