Luis Gustavo Belum Tiba Mad Sedia Galas Tugas Besar
KUALA TERENGGANU: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Fauzi menegaskan dia sudah bersedia memikul tugas lebih besar di benteng tengah pasukan sekali pun mengakui pengalamannya dalam kancah Liga Super masih cetek.
Malah bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) berusia 23 tahun itu mengakui dia kini lebih tenang berbanding aksi sebelum ini selepas diberi kepercayaan bermain lebih lama ketika bertemu Perak, Selasa lalu.
"Peluang yang saya tunggu selama ini untuk bermain membantu pasukan akhirnya tiba juga walaupun sebagai pemain gantian.
"Ini perlawanan pertama saya dalam Liga Super musim ini yang paling lama saya beraksi. Insya-Allah, jika saya diberi peluang sekali lagi bermain untuk aksi seterusnya, saya akan beraksi sebaik mungkin untuk membantu pasukan mencatat kemenangan terutama bertemu Kuala Lumpur pada Rabu ini," kata pemain yang mesra dipanggil Mad itu.
Pada aksi bertemu skuad The Bos Gaurus, Muhammad yang dimasukkan menggantikan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris pada pertengahan babak pertama berjaya mencuri tumpuan selepas bergandingan baik dengan pemain import, Thierry Chantha Bin.
Malah ketiadaan pemain import baru dari Brazil, Luis Gustavo Camilo yang masih belum tiba dari negaranya membuka peluang kepada bekas pertahanan tengah skuad Harimau Muda itu yang pernah menimba ilmu di Queensland, Australia mempamerkan belangnya.
Bagaimanapun bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, Kuala Terengganu itu mengakui terkilan kerana gagal membantu pasukannya mencatat sekurang-kurangnya seri ketika bertemu juara Piala Malaysia musim lalu itu.
"Pada babak pertama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian aksi saya belum 'panas' lagi, Alhamdulillah pada babak kedua saya mula rasa tenang dan boleh bermain dengan baik menyekat serangan pasukan lawan," katanya yang mengidam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan mengikut jejak rakan sepasukannya, Mohd Syazwan Andik ketika berada dalam skuad Harimau Muda. - Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/luis-gustavo-belum-tiba-mad-sedia-galas.html