Ltte Mahkamah Tinggi Akan Putuskan Isu Jaminan Dua Adun 10 Lelaki
THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR - Sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 10 lelaki yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, dibenarkan diikat jamin atau sebaliknya, ianya akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang membenarkan permohonan 12 lelaki itu untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua ADUN itu ialah G. Saminathan (Gadek) dan P. Gunasekaran (Seremban Jaya) manakala 10 lelaki lain ialah V. Balamurugan; S. Teeran; A. Kalaimughilan; S. Chandru; S. Arivainthan; S. Thanagaraj; M. Pumugan; Sundram Renggan @ Rengasamy; V. Suresh Kumar dan B. Subramaniam.
Hakim Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
“Tiada sebarang perintah jaminan dibuat oleh mahkamah ini dan tiada penangguhan prosiding,” kata hakim itu yang turut menetapkan 23 Dis untuk sebutan kes.
Rozina turut memaklumkan bahawa terpulang kepada Mahkamah Tinggi mana yang akan mendengar permohonan berkenaan kerana ia akan diuruskan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Beliau membuat keputusan berkenaan dalam kes Saminathan, 34, pemandu teksi Balamurugan, 37, penghantar surat Teeran, 38, dan peniaga besi buruk Kalaimughilan, 28, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.
Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE manakala Kalaimughilan menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube dan turut didakwa memberi sokongan kepada kumpulan itu pada satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan.
Pada prosiding semalam, peguam Ramkarpal Singh yang mengetuai pembelaan memohon supaya kesemua tertuduh dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah dengan alasan penahanan anak guamnya di bawah SOSMA adalah tidak berperlembagaan selain memohon agar permohonan jaminan itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
Hari ini permohonan jaminan itu disebut di tiga Mahkamah Sesyen berasingan kerana semalam kesemua tertuduh masing-masing didakwa di tiga mahkamah.
Di hadapan Hakim Azman Ahmad, Ramkarpal memaklumkan bahawa permohonan untuk merujuk isu perlembagaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA telah dibuat untuk ketiga-tiga mahkamah termasuk mahkamah ini.
“Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi mendengar hujahan berhubung permohonan kami, tetapi Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (MSJ) 8 iaitu Rozina telah membuat keputusan membenarkan permohonan kami merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan.
“Memandangkan ketiga-tiga mahkamah mendengar isu sama dan ada keputusan di MSJ8, maka tidak perlu pihak kami mengulangi penghujahan sama di mahkamah lain. Mohon supaya mahkamah ini menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu keputusan permohonan kami di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.
Azman berkata, beliau akan menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berdasarkan perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen 8 dan menetapkan tarikh sama (23 Dis) untuk sebutan kes.
Di hadapan Hakim Azman, ketua pegawai perbadanan Chandru, 38, juruteknik Arivainthan, 27, penjaga stor Thanagaraj, 26, pengawal keselamatan Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama berlainan.
Sementara itu, permohonan pembelaan untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi turut dibenarkan oleh Hakim Azura Alwi dengan menggunapakai keputusan oleh Hakim Rozina.
Di hadapan Hakim Azura, Gunasekaran, 60, ahli DAP Suresh Kumar, 43, dan Subramaniam, 57, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook masing-masing manakala Kalaimughilan pula didakwa telah mengedar item berkaitan dengan LTTE.
Hakim itu turut menetap 23 Dis untuk sebutan kes.
Terdahulu, peguam M. V. Yoges, yang mewakili Kalaimughilan berkata anak guamnya memberitahu bahawa dia tidak dilayan dengan baik di Penjara Sungai Buloh di mana bantal mahupun tilam tidak diberi kepadanya.
“April lepas, anak guam saya mengalami kemalangan dan mendapat lapan jahitan di kepala… dia masih rasa kesakitan itu.
Kesakitannya bertambah teruk apabila tidur di atas lantai. Anak guam saya juga ditempatkan di dalam lokap gelap yang ada tikus,” katanya sambil memohon mahkamah untuk merekodkan kenyataannya dan beliau akan merujuk perkara itu kepada pihak penjara berkenaan.—Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/11/ltte-mahkamah-tinggi-akan-putuskan-isu.html