Mahkamah Tolak Permohonan Habeas Corpus Dua Adun Tiga Lelaki
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan habeas corpus difailkan lima lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang ditahan berkaitan kumpulan LTTE supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membuat keputusan itu berkata permohonan dikemukakan oleh kesemua pemohon kini bersifat akademik dan tidak relevan kerana mereka telah dituduh di mahkamah.
Loading…
“Penahanan kesemua pemohon sudah berakhir apabila mereka dituduh di mahkamah. Tiada lagi isu dalam permohonan ini. Oleh itu, permohonan kesemua pemohon ditolak,” katanya.
Mereka ialah G Saminathan, 34, dan P Gunasekaran, 60, masing-masing merupakan Adun Gadek (Melaka) dan Adun Seremban Jaya (Negeri Sembilan), S Chandru, 38, dan V Suresh Kumar, 43, merupakan ahli DAP dan seorang juruteknik, S Arivainathan, 56.Iklan
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti yang mewakili kesemua responden berkata pihaknya membantah permohonan habeas corpus itu atas alasan ia sudah menjadi akademik selepas pemohon dituduh di mahkamah.
Katanya kini semua pemohon ditahan reman di Penjara Sungai Buloh selepas didakwa di Mahkamah Sesyen.
Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili kesemua pemohon berkata penangkapan dan penahanan anak guamnya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah menyalahi undang-undang kerana menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan selepas mereka ditahan.
Pada 21 Okt, kesemua pemohon memfailkan permohonan habeas corpus dengan menamakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Insp Jasveer Singh (pegawai polis yang menangkap mereka); Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah mahkamah bahawa penahanan mereka melalui notis di bawah Seksyen 5(1)a Akta SOSMA 2012 bertarikh antara 10 dan 12 Okt lepas yang dikeluarkan responden kedua (Jasveer) dan dilaksanakan di bawah seliaan responden pertama (Ayob Khan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.
Mereka juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.
Permohonan itu juga meletakkan alasan penahanan mereka telah melanggari prinsip hak kesamarataan, selain tidak mempunyai hak akses kepada peguam ketika kejadian.
Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan permohonan baharu esok bagi mencabar peruntukan di bawah SOSMA.
Pada 29 dan 31 Okt, kelima-lima pemohon bersama tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE. – Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2019/11/mahkamah-tolak-permohonan-habeas-corpus-dua-adun-tiga-lelaki/