Lost Generation Anak Anak Kita Makin Ketinggalan Dalam Pelajaran Mak Ayah Perlu Usaha Lebih
Melihat anak-anak yang masih bersantai di rumah sambil menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru melalui atas talian, terselit rasa bimbang dalam hati. Di manakah nasib masa depan anak-anak kita kelak?. Bagaimana kelak mereka boleh berdepan untuk menambah ilmu semula selepas hampir tiga bulan duduk di rumah. Pelbagai persoalan mula bersarang di minda seorang wanita bergelar ibu.
Timbul kegusaran dalam kalangan pelajar dan juga ibu bapa, adakah pembelajaran dalam talian memberi kesan yang sama seperti pembelajaran formal di dalam kelas?
Krisis Covid-19 yang melanda dunia pastinya tidak akan berakhir sehinggalah penemuan vaksin di mana jangkaan awal senario ini hanya akan berlaku sekitar tahun hadapan.
Adakah anak-anak kita perlu meneruskan pembelajaran dalam talian walhal pelbagai isu timbul akibat pembelajaran tidak formal ini seperti pelajar yang tidak mempunyai akses internet, pelajar yang tiada peranti malah kesukaran guru dan ibu bapa memantau prestasi pelajar menjadi persoalan yang masih belum berakhir.
Ketiadaan proses pembelajaran dua hala sebaliknya hanya membuat kerja rumah pastinya akan membuatkan anak-anak kita sedikit ketinggalan.
Menurut Pakar Epidemiologi dan juga Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur, Datuk Profesor Awang Bulgiba Awang Mahmud; seperti yang dikongsikan oleh Astro Awani, terdapat dua perkara utama perlu diteliti sebelum sekolah dan IPT dibuka semula.
Persediaan rapi SOP normal baharu
Pelbagai SOP baru dikeluarkan kerajaan demi memastikan anak-anak kita benar-benar selamat untuk kembali ke sekolah sedikit masa lagi. Semua ini bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka selepas lebih 3 bulan berada di rumah.
Dengan melihat contoh beberapa negara yang sudah mula membuka kembali sekolah seperti di Perancis, Norway dan Denmark, mereka melaksanakan penjarakan sosial dengan berkesan, merekodkan suhu dan menghalang pelajar yang bergejala untuk hadir ke sekolah sama sekali.
Negara-negara ini mempunyai kelebihan apabila sumber mereka agak kukuh dari segi kewangan, kakitangan sokongan, guru serta jumlah kelas yang kecil berbanding saiz kelas sekolah awam di negara kita.
Bagaimana dapat dilaksana di negara kita?
Perancangan rapi serta sumber tenaga kerja dan sumber kewangan yang mencukupi amat diperlukan untuk melaksanakan kesemua ini dengan sebaiknya. Bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah normal baharu, sekolah dinasihatkan membangunkan SOP sendiri di mana melaksana sistem penggiliran bagi memastikan saiz murid yang lebih kecil. Pelajar anak-anak golongan barisan hadapan dan golongan B40 perlu diutamakan selepas keutamaan diberikan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Malah menurut Datuk Profesor Awang Bulgiba Awang Mahmud lagi, sanitasi kawasan dan perkakasan sekolah perlu dilakukan dengan kerap. Ini memerlukan dana yang cukup dari kerajaan untuk membolehkan pihak sekolah dan IPT memberi tender kepada kontraktor kecil yang diberi tanggungjawab menjalankan proses nyahkuman di kawasan sekolah.
Laksanakan sistem penggiliran, apa nasib pelajar lain?
Pelajar yang perlu meneruskan pembelajaran dalam talian perlu diberi sokongan peralatan serta memastikan hanya mereka berada dalam lingkungan kawasan yang mempunyai kemudahan perkhidmatan internet sahaja boleh meneruskan cara pembelajaran sebegini.
Tiada peranti? Peranti diberi pinjaman oleh pihak sekolah atau IPT. PTPTN juga boleh memberi sokongan pinjaman kewangan jika pelajar perlu membeli peranti bagi tujuan tersebut.
Waktu pembelajaran dalam talian perlu mengikut jadual, diberi penekanan dan pemantauan berterusan dari pihak tenaga pengajar.
Tenaga pengajar tiada pengalaman menjalankan pembelajaran dalam talian? Kursus, kursus, kursus. Guru dan pensyarah IPT juga perlu diberi sokongan, gunakan masa yang ada sekarang untuk menambah kepakaran dalam bidang tersebut. Ini masa untuk mengubah paradigma menerima normal baharu. Tenaga pengajar perlu bersedia kemungkinan pembelajaran dalam talian diubah menjadi cara pembelajaran utama di masa akan datang.
Sudah hampir tiga bulan, pelajar duduk di rumah. Mereka tidak mendapat pendidikan formal dan kehilangan masa yang cukup berharga untuk menimba ilmu pengetahuan. ‘Restart’ belum tentu boleh ‘catch up’.
Malah sekiranya ia dibiarkan tanpa diberi perhatian sewajarnya, kita mungkin berhadapan isu ‘lost generation’, impak terburuk akibat krisis COVID-19 yang perlu kita elakkan sama sekali.
Artikel menarik: Semua Taska Dibenarkan Beroperasi Serta Merta Tiada Isu Ibu Bapa Yang Tak Boleh Bekerja Kerana Perlu Menjaga Anak!
The post ‘Lost Generation’? Anak-Anak Kita Makin Ketinggalan Dalam Pelajaran, Mak Ayah Perlu Usaha Lebih! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/lost-generation-anak-anak-kita-makin-ketinggalan-dalam-pelajaran-mak-ayah-perlu-usaha-lebih/