Lembaga Disiplin Bersatu Diberi Tempoh Sebulan Kaji Aduan
Hariz Mohd
 Seorang  pemimpin Bersatu negeri hari ini menggesa lembaga disiplin parti itu  bertindak pantas berhubung aduan yang dibuat terhadap individu yang  memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 11 Mei lalu, yang  didakwa tidak sah.
Anuar Abdul Hamid, yang juga timbalan pengerusi  Bersatu Kedah berkata, mereka berharap lembaga itu akan menerima aduan  yang dibuat enam anggota parti itu segera.
"Hari ini kami telah  menerima maklum balas daripada peguam lembaga dispilin yang mengatakan  mereka telah menerima aduan kami dan lembaga itu sedang menelitinya dan  juga dokumen-dokumen yang dilampirkan.
"Bagaimanapun, menurut  firma guaman tersebut, anak guam mereka (lembaga disiplin) tidak  berkewajipan dalam sebarang jangka waktu untuk memberi maklum balas  terhadap aduan tersebut, dan mereka tidak akan mendedahkan apa-apa buat  masa ini sehingga mereka selesai mengkaji perkara itu.
"Oleh itu, saya ingin meminta lembaga disiplin meneliti aduan kami secepat mungkin," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Anuar  berkata, beliau memberi tempoh selama sebulan untuk lembaga disiplin  parti itu meneliti aduan tersebut, sebelum mengambil tindakan  selanjutnya.
Awal bulan ini, Anuar bersama-sama lima pemimpin Bersatu dan ahli-ahlinya menulis surat kepada  lembaga disiplin untuk menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap  mereka yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi pada 11 Mei lalu.
Mesyuarat  itu, yang kemudiannya dibatalkan, dijadual diadakan tanpa kehadiran  Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya Mukhriz  Mahathir.
Menurut Anuar, berikutan surat mereka, lembaga disiplin  hari ini telah memberi maklum balas kepada mereka melalui firma guaman  Chooi, Saw and  Lim Advocates.
Antara lain, maklum balas yang  diterima pengadu mengatakan "tindakan yang sewajarnya sedang diambil",  dan lembaga itu memiliki "prosedurnya sendiri dalam mengendalikan aduan  tatatertib."
Oleh itu, surat yang ditujukan kepada peguam  pengadu, Haniff Khatri itu mengatakan anak guamnya (lembaga disiplin  Bersatu) tidak tertakluk kepada sebarang had masa yang ditetapkan oleh  pengadu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/lembaga-disiplin-bersatu-diberi-tempoh.html