Lapor Polis Jika Jiran Langgar Sop Curi Curi Balik Kampung
  Bernama  
Orang  ramai  dinasihatkan agar memerhati kawasan kejiranan mereka dan  memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya  ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis  Perlis Datuk Surina Saad.
Beliau berkata maklumat sedemikian  diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas  terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi Prosedur  Operasi Standard (SOP) Aidilfitri 2021.
“Polis Perlis juga akan  tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan  mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan  perumahan...termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen  bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Surina  juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri yang telah  ditetapkan oleh kerajaan dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan  penting.
Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah  tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi  ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan  seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.
Mengulas  mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak  beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan  kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus  berbanding hari biasa.
“Peningkatan jumlah kenderaan adalah  berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut  di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di  samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di  Perlis,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt  Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP  Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.
“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Diharapkan  agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi  mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/lapor-polis-jika-jiran-langgar-sop-curi.html