Langgar Sop Di Kilang 59 Diarah Tutup 75 Dikompaun
                    Oleh Zulkiflee Bakar
                                                                       SEBANYAK 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan  tutup selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang  dijalankan sejak 1 Jun lalu hingga semalam.
   Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  sepanjang tempoh tersebut telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah  kilang bagi memastikan tiada perlanggaran SOP.
   ‘’ Langkah ini dikuatkuasakan susulan kerajaan telah menerima banyak  aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai  perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ketika  ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
       Beliau juga turut memaklumkan tiga taman perumahan di Temerloh iaitu  Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur  dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) .
   ‘’Pelaksanaan berkuatkuasa mulai 12 Jun hingga 25 Jun itu dilakukan  selepas Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 38 kes secara  keseluruhan iatu 24 kes di Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya (6  kes) dan Taman Temerloh Makmur (8 kes) hasil daripada 407 ujian saringan  dijalankan di ketiga-tiga lokaliti tersebut,’’ katanya.
   Di Johor pula, kata beliau, Ladang Tereh Mill turut dikenakan PKPD  bagi tempoh yang sama selepas sebanyak 24 kes positif  Covid-19  dilaporkan hasil daripada saringan ke atas 154 individu di lokaliti itu  dengan kadar positiviti 15.6 peratus.
   Seperti juga tiga taman perumahan Temerloh tersebut, pelaksanaan PKPD  di ladang berkenaan bagi memastikan mereka berisiko dijangkiyi Covid-19  kekal berada dalam kawasan itu.
   ‘’Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Kuala Takin, Kuala Berang,  Terengganu, Kampung Kolong 2 Kuching, Sarawak dan Lorong Pasir Putih,  Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah,’’ katanya.
   Menurut Ismail Sabri, bagi Kampung Kuala Takin sehingga kini seramai  502 individu disaring dan daripada jumlah itu, 31 dilaporkan positif  Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.7 peratus.
   Kampung Kolong 2, Kuching pula terpaksa dilaksanakan PKPD selepas  berlaku peningkatan kes ketara apabila 29 daripada 45 individu disaring  disahkan positif dengan kadar positiviti 64.4 peratus.
   ‘’Di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1 Putatan pula, KKM  mendapati peningkatan yang ketara apabil 16 daripada 17 individiu yang  disaring, disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 95.12  peratus,’’ katanya.
   Beliau juga memaklumkan seramai 907 individu ditahan atas kesalahan  ingkar SOP dan daripada jumlah itu seramai 877 individu dikompaun, 28  direman manakala dua lagi dijamin.
   Antara kesalahan yang direkod ialah tidak memakai pelitup muka (208),  individu gagal merekod butiran diri daftar masuk premis (148), rentas  negeri/daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (147), tiada  penjarakan fizikal (123), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81),  membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis  gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (83).
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/langgar-sop-di-kilang-59-diarah-tutup.html