Kumpulan Anti Vaksin Hanya Nak Jual Produk Pakar Perubatan
                    Oleh UtusanTV                                                      

                 SELEPAS vaksin yang mampu menjadi penyelamat manusia dari virus  COVID-19 tiba, muncul pula pendapat yang mengelirukan masyarakat  mengatakan vaksin itu mempunyai pelbagai kesan sampingan yang  diuar-uarkan oleh kumpulan anti vaksin.
   Bagaimanapun, orang ramai tidak kenal apakah motif sebenar mereka –  adakah benar-benar hendak ‘menyelamatkan manusia’ atau hanya ingin  menjual produk atau perkhidmatan yang belum tentu berkesan dalam melawan  penyakit akibat virus itu.
   Sebenarnya, menjual produk yang kononnya mampu menjadi alternatif  kepada vaksin adalah antara objektif kumpulan anti vaksin di Malaysia  untuk terus menentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S.Malar Santhi berkata  apabila kumpulan anti vaksin berjaya membuatkan orang ramai keliru  mengenai vaksin, maka mereka boleh menjual produk-produk yang didakwa  menggantikan vaksin COVID-19 seperti Vitamin C, Magnesium atau pelbagai  jenis minyak.
   “Selain itu, kumpulan anti vaksin di negara ini juga seakan-akan  mendapat satu kepuasan apabila mereka berjaya mempengaruhi individu lain  supaya menolak vaksin.
   “Itu antara manfaat yang mereka perolehi berdasarkan pemerhatian  saya,” katanya menerusi program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Vaksinasi  negara akan berjaya’ terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur, hari ini.
   BERITA BERKAITAN Proses suntikan vaksin ambil masa 15-30 minit – Dr Adham Baba
   Dr Malar Santhi yang merupakan antara pakar pegawai perubatan aktif  di media sosial, turut menjelaskan kebanyakan individu yang menolak  vaksin tidak mempunyai hujah atau maklumat yang munasabah dan berasas,  malah bertentangan dengan ilmu sains.
   Beliau yang percaya program vaksinasi negara akan berjaya, menyeru  semua rakyat Malaysia agar berlapang dada mendapatkan vaksin COVID-19  kerana petugas barisan hadapan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin  Yassin sendiri akan mendapat suntikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu  dan ia akan membina keyakinan rakyat di negara ini.
   Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa  bermula esok, dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan  petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
   Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas  berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang  upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga  Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas –  warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/kumpulan-anti-vaksin-hanya-nak-jual.html