Kuat Sebab Anak Anak Genap Setahun Covid Balu Mangsa Pertama Di Johor Terus Bangkit
“Saya sentiasa berdoa wabak COVID-19 segera berakhir agar kita semua dapat menjalani kehidupan seperti dahulu,” kata seorang balu yang kematian suami akibat COVID-19.
Noradilah Rani, 33, berkata selepas kematian suaminya, Mohammad Yusof Haron, 34, pada 17 Mac tahun lalu akibat pendemik COVID-19, tanggungjawab membesarkan enam anak berusia setahun hingga 11 tahun digalas sepenuhnya.
Noradilah yang sebelum ini hanya seorang suri rumah berkata, beliau seperti menerima tamparan hebat apabila suaminya meninggal dunia akibat dijangkiti wabak itu.
Katanya, selain Allahyarham suaminya, beliau bersama empat anaknya, turut dijangkiti wabak itu, namun mereka kembali pulih selepas dikuarantin selama lebih dua minggu.
Berniaga kecil-kecilan sara 6 anak
Beliau kini berniaga ayam gunting dan minuman secara kecil-kecilan di Jalan Antoi, Kampung Melayu Majidee di sini, sejak Jun lalu, juga mahu bangkit bersama semangat baharu bagi membesarkan enam anaknya.
“Walaupun terasa perit kerana kini perlu menjadi nadi keluarga, saya akan terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga dengan sedikit bakat memasak yang dikurniakan Allah.
“Saya tidak menjangka wabak ini akan berlarutan sehingga dah genap setahun (24 Januari) dengan kehidupan kita sudah berubah mengikut norma baharu sepanjang masa.
“Selain berniaga ayam gunting dan minuman secara kecilan, saya juga akan mula menghasilkan biskut dan roti bagi jualan sebagai menambah pendapatan.
“Alhamdulillah, kerajaan Johor ada menyumbang oven dan pembancuh kuih dan roti bagi saya memulakan perniagaan membuat kuih dan roti.
“Saya juga bersyukur kerana permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sudah diluluskan bagi menambah pendapatan perbelanjaan membesarkan anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi.
Suami pesakit Covid pertama meninggal dunia di Johor
Pada 17 Mac lalu, suami Noradilah, Mohammad Yusof, meninggal dunia selepas disahkan positif COVID-19 dan dirawat selama seminggu di Hospital Permai, Johor Bahru.
Mohammad Yusof adalah pesakit COVID-19 pertama meninggal dunia di Johor dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Surau, Kampung Dato’ Hajah Hasanah, di sini.
Sementara itu, Noradilah turut berharap masyarakat patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama pemakaian pelitup muka.
Katanya, sebagai bekas mangsa yang pernah dijangkiti COVID-19 bersama empat anaknya, pengalaman berkenaan mengajarnya erti kesabaran selain memastikan SOP sentiasa dipatuhi.
“Saya masih fobia dengan wabak ini dan cukup menjaga anak-anak supaya tidak keluar rumah tanpa pemantauan atau sesuka hati,” katanya.
Kredit: Berita Harian & FB Noradilah
ARTIKEL MENARIK [Hilang Kasih Ibu! Sebak Lihat Renungan 3 Anak Kecil Seolah Faham Ibu Pergi Selamanya]
LAGI ARTIKEL MENARIK [“Terima Kasih Allah, 6 Tahun Tunggu.” Suami Isteri Sama-Sama Menangis, Doktor Sebak]
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
The post Kuat Sebab Anak-Anak. Genap Setahun Covid, Balu Mangsa Pertama Di Johor Terus Bangkit! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kuat-sebab-anak-anak-genap-setahun-covid-balu-mangsa-pertama-di-johor-terus-bangkit/