Kppk Usaha Tingkatkan Pengeluaran Lada Negara
HARAKAH DAILY
KULAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang berusaha meningkatkan pengeluaran lada negara berikutan permintaannya yang semakin tinggi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pengeluaran lada negara ketika ini diterajui oleh Sarawak, dan tanaman itu dilihat mempunyai potensi untuk ditingkatkan lagi pengeluarannya di Johor, dan juga lain-lain negeri.
Katanya sehubungan itu beliau telah mengarahkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) supaya meletakkan sasaran bagi mengembalikan semula kegemilangan Johor sebagai pusat penanaman lada Malaysia
“Di Johor, kita boleh perluaskan lagi pengeluaran ke tahap lebih besar kerana kalau kita lihat, di Vietnam penanamannya berskala besar dan ia merupakan peneraju utama (lada) dunia,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui selepas melawat ladang projek rintis lada Johor yang diusahakan seramai 23 peserta melibatkan keluasan 2.3 hektar di Felda Inas Utara di sini.
Khairuddin berkata untuk rekod, harga semasa lada kini adalah antara RM10 dan RM17 sekilogram iaitu RM10 bagi lada hitam dan RM17 sekilogram bagi lada putih.
“Kita yakin bahawa harga ini akan menjadi semakin baik apabila lebih banyak penanaman diusahakan untuk menampung permintaan tinggi.
Tambahan pula, lada bukan hanya boleh digunakan sebagai rempah ratus masakan malahan dapat diguna di sektor farmasi untuk ubat-ubatan dan sebagainya,” kata beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai masa depan industri sawit tempatan yang berdepan persaingan baharu melibatkan kacang soya, Khairuddin berkata pihaknya tidak khuatir akan perkara itu kerana yakin komoditi berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri.
“Ini kerana tumbuhan sawit dan soya mempunyai keperluan berbeza; sawit bukan hanya digunakan untuk sektor makanan tetapi juga untuk sektor industri, farmasi dan makanan binatang,” katanya. – BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/kppk-usaha-tingkatkan-pengeluaran-lada.html