Kj Dah Dapat Petunjuk
KJ DAH DAPAT PETUNJUK…
7 November 2025
Selepas dua tahun dipecat daripada UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menjejakkan kaki ke bangunan parti itu buat pertama kalinya.
Beliau hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, bangunan milik UMNO sebagai panelis bagi forum ‘Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru’ anjuran Pemuda UMNO Malaysia.
Dilaporkan mereka yang hadir dalam forum tersebut kelihatan teruja dengan kemunculan bekas Ketua Pemuda UMNO itu, dengan ada yang berdiri dan berulang kali melaungkan ‘hidup Khairy’ serta memberikan tepukan gemuruh ketika beliau tampil mengemukakan cadangan.
Kehadiran Khairy Jamaluddin atau KJ ke bangunan milik UMNO menimbulkan keterujaan kerana ia muncul ketika desas-desus sedang bertiup kencang beliau bakal kembali semula ke pangkuan UMNO setelah dipecat pada 2023 lalu.
Media sebelum itu melaporkan KJ telah mendapat restu untuk kembali ke pangkuan UMNO setelah kebetulan beliau bertemu Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah majlis perkahwinan anak pemimpin UMNO Perlis, baru-baru ini.
Dikatakan bekas Menteri Kesihatan itu akan kembali menyertai UMNO sebelum PRN Sabah diadakan kerana peranannya diperlukan untuk membantu UMNO dalam pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun Zahid Hamidi kemudian menafikan beliau ada berbincang soal politik dengan KJ dalam pertemuan di majlis perkahwinan itu.
Tiada apa-apa perbualan berkaitan politik dengan KJ dalam pertemuan itu, kata Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Pun begitu, KJ ketika di bangunan UMNO hari ini berkata, beliau akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai nanti berkaitan spekulasi kepulangannya ke pangkuan UMNO.
“Saya dah maklum tadi, nanti bila tiba masa untuk saya buat pengumuman.
“Saya akan maklum pada pihak media,” katanya ringkas.
Dengan kenyataan KJ bahawa beliau akan membuat pengumuman bila tiba masa yang sesuai nanti, ini adalah isyarat yang tidak diragui lagi tentang petunjuk sahih yang telah dimilikinya tentang kepulangannya semula ke pangkuan UMNO berada dalam kedudukan yang positif.
Jika tiada petunjuk yang positif, tidak mungkin KJ dengan yakin berkata – saya akan maklum dan panggil media bila tiba masanya nanti.
Yang ditunggu ketika ini barangkali hanya pengesahan daripada MT UMNO terlebih dahulu berkaitan perkara itu.
Setelah kepulangannya itu diterima dan disahkan nanti, KJ sendiri akan mengumumkannya.
Jika benar penyertaan semula KJ ke dalam UMNO akan berlaku sebelum PRN Sabah dan beliau diberi peranan untuk berkempen, bermakna pilihan raya itu nanti adalah ujian penting buat masa depannya.
Kiranya berjaya membantu UMNO memperolehi keputusan yang baik, laluan masa depannya pasti akan jadi lebih cerah lagi.
Tidak mustahil jawatan menteri kouta UMNO yang dikosongkan oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana berhijrah menyertai PKR sebelum ini, bakal menjadi miliknya. – ShahbudinHusin 07November2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/11/kj-dah-dapat-petunjuk/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/11/kj-dah-dapat-petunjuk.html