Kj Cucuk Kulasegaran Ceramah Kaum Kita Kena Undi Streram
MALAYSIAKINI
PRK RANTAU | Satu video ceramah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dalam Bahasa Tamil, yang merayu agar kaum India mengundi Pakatan Harapan (PH) esok, menarik perhatian Khairy Jamaluddin.
Sambil menandakan anggota parlimen DAP itu, Khairy berciap di Twitter: "Saya harap terjemahan (ceramah Kulasegaran) tidak betul."
Dalam rakaman 58 saat yang diiringi sari kata Bahasa Melayu itu, Kulasegaran memberitahu hadirin bahawa beliau akan mendapat malu jika pengundi India tidak mengundi calon PH Dr S Streram.
"Kalau tidak macam mana saya boleh tunjuk muka nanti, kalau kaum saya keturunan saya...Streram dari kaum kita sendiri, kita semua kaum sama, darah sama, jadi apa akan terjadi kalau kita tidak memberi sokongan untuk kaum sendiri.
"Kalau tidak apa boleh kami buat (beritahu) kabinet nanti? 'Mereka' akan kata yang bertanding pula dia (Mohamad Hasan) dari kaum dan agama lain tetapi untuk dia pula orang Tamil undi. Cuba fikirkan keadaan ini.
"Semasa saya jadi menteri, banyak masalah (orang India) yang dibawa kepada saya boleh dibawa ke menteri Cina dan Melayu, tetapi mereka (orang India) tidak akan pergi (kepada menteri kaum lain).
"Ini kerana mereka (orang India) gembira kalau pergi kepada menteri India," katanya, menurut sari kata video itu.
Kulasegaran juga berkata beliau lebih suka untuk makan di restoran yang diusahakan orang India ketika berkempen di Rantau
"Dekat sini ada banyak kedai Cina dan Melayu...(Tetapi) kita akan pergi ke kedai orang India sahaja. Sebabnya ini merupakan kaum kita," katanya lagi.
Malaysiakini telah mengesahkan bahawa terjemahan Bahasa Melayu ucapannya yang disertakan di video tersebut tepat.
Menurut video itu, anggota parlimen Ipoh Barat itu berucap dalam program PH di Bandar Ekar malam tadi.
Mengulas video itu, beberapa pengguna Twitter membangkitkan bagaimana ahli politik BN juga menggunakan cara yang sama untuk mendapatkan undi.
Ia membuatkan beberapa pengguna lagi berkata PH sering mengkritik BN apabila berbuat demikian tetapi pada masa sama turut melakukannya.
Malaysiakini sedang menghubungi Kulasegaran untuk mengulas perkara ini.
Selain Streram dan Mohamad, PRK Rantau turut melibatkan dua calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.
Pengundi India merangkumi 27 peratus daripada jumlah pengundi di DUN tersebut.
LIHAT TWITTER DI SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/kj-cucuk-kulasegaran-ceramah-kaum-kita.html