Kisah Tuntut Janji Lama
Mungkin saya salah tetapi yakin saya betul. Tidak pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya negara pengundi menuntut calon “bersumpah” akan tunaikan janji mereka kepada pengundi melalui akuan bersumpah atau SD.
Ini yang pengundi DUN Kuala Kubu Baharu mahu calon yang bertanding PRK kawasan mereka 11 Mei ini lakukan jika mahukan undi mereka. Bukan semua pengundi Kuala Kubu Baharu yang menuntut SD tetapi pengundi dari lima ladang.
Bosan dengan janji-janji beberapa pilihan raya lalu yang tidak ditunaikan, mereka tampil dengan idea ini.
“Kami tak nak ditipu sekali lagi dengan janji kosong pemimpin politik.
“Jika nak undi kami calon perlu menandatangani SD yang kami sediakan dan perlu menunaikan perkara-perkara disebut dalam dokumen berkenaan selepas menang,” kata wakil penduduk Vasudevan Raja Manickam.
Beliau mendakwa ada 500 pengundi dari lima ladang terbabit terdiri daripada masyarakat India dan di Kuala Kubu Baharu 18% pengundi adalah komuniti itu. Mungkin 500 (jika angka yang dakwa wakil penduduk ladang itu benar) tidak “significant” tetapi setiap undi penting.
Ada pemerhati politik melihat undi orang India amat penting kali ini. Lantas pengundi dari lima ladang disebut tadi cuba memanfaatkan sebaik mungkin “kelebihan” yang mereka ada kali ini.
Menurut Malaysiakini yang melihat sampel SD disediakan penduduk ladang ia bukan rekaan mereka. Sebaliknya kandunganya adalah “himpunan janji yang dibuat pemimpin politik sebelum ini.”
Tidak disebut siapa yang membuat janji. Antara perkara dibangkitkan ialah pembinaan rumah teres kos rendah untuk 245 pekerja lima ladang berkenaan. Mereka juga mahu calon menang memastikan tidak ada pengusiran paksa ke atas pekerja dan bekas pekerja sehingga perumahan tetap dibina .
Golongan pekerja ladang bukanlah orang senang. Pada hemat saya tuntutan mereka sesuatu yang “decent”. I mean they are not asking for the moon. Tetapi diakui mungkin ada komplikasi berkaitan tanah di mana rumah mahu dibina di samping syarat atau kontrak pekerjaan antara pekerja dan majikan.
Namun tentu ada pelbagai persoalan timbul. Umpamanya adakah SD disediakan akan atau boleh dilihat sebagai ugutan kepada calon? Kerana calon yang mahu undi mesti tandatangan SD? Maksudnya mungkinkah pengundi boleh dituduh sebagai pengugut?
Atau dengan membuat tuntutan bertulis pengundi akan dituduh minta dirasuah? Yakni bagi apa yang kami mahu, kami beri apa yang kamu mahu? Si calon pula bagaimana? Mungkinkah calon menurunkan tandatangan boleh dituduh memberi rasuah untuk dapat undi? Paling tidak bersetuju mahu memberi rasuah?
Pendek kata boleh atau tidak timbul tuduhan ke atas pengundi meminta rasuah dan menerimanya jika calon yang menang menunaikan janji yang dibuat menerusi SD?
Apakah calon yang menang boleh dituduh mahu memberi rasuah kerana setuju dengan tuntutan SD? Lalu turunkan tandatangan ke atas SD?
Boleh kah pengundi yang menyiapkan SD diminta pihak tertentu mengemukakan bukti bahawa janji lama yang dikatakan dibuat kepada mereka benar-benar tidak ditunaikan?
Seperkara lagi – adakah adil calon masa kini diminta tunaikan janji yang dibuat oleh orang lain pada masa lalu? Mengambil kira memang ada janji ditaburkan dahulu.
Saya bersimpati dengan pengundi yang mahu kemukakan SD. Saya rasai apa yang mereka rasakan dan lalui. Mereka tertekan dalam menjalani kehidupan.
Namun dalam mahu lakukan apa yang mereka rancang ini peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mesti diteliti.
Umum tahu antara kesalahan pilihan raya ialah rasuah dan beli undi. Ini yang harus dikaji rapi oleh pengundi ladang di Kuala Kubu Baharu supaya tidak melanggar perundangan tanpa sedar dalam usaha mendapatkan apa yang diidamkan.
Lihatlah Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Selangor dijadualkan hari ini di Kuala Kubu Bahru. Bersih mengingatkan penganjuran majlis itu boleh dianggap bercanggah dengan pelbagai peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bagi pengundi lima ladang yang hasratnya dibicarakan ini jangan sampai kesenangan yang dicari untuk menggantikan kesusahan yang sedang ditanggung tetapi kesusahan lebih besar pula yang datang menimpa.
Kesimpulannya teliti dan fikir masak masak sebelum buat apa yang mahu dibuat. Mungkin pakar perundangan juga hal ehwal pilihan raya boleh membantu.
Barangkali ada yang sudah pun memberi nasihat? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/04/kisah-tuntut-janji-lama.html