Kisah Suami Semasa Isteri Bersalin Secara Pembedahan
Semalam ternampak Si Isteri kongsi cerita di Facebook berkenaan Kisah Sedih Si Suami Yang Tabah Ketika Isteri Bersalin Secara Pembedahan... Bacaan ini aku  jadikan rujukan dan persediaan memandangkan dalam beberapa minggu lagi  kami akan menghadapi situasi seperti ini dengan ujian Perkahwinan Jarak  Jauh ni menambahkan lagi debarannya. Semoga Si Isteri sabar dan tabah  menghadapinya dengan bersalin kali pertama dan anak pertama dalam tahun  perkahwinan pertama. Bersalin secara pembedahan (Ceaserean) menjadi  pilihan darurat demi nyawa bayi baru keluar ke Alam Dunia ini..
(Lepas ni boleh karang cerita pengalaman sendiri...) 
Ikuti Kisah yang di kongsi ..
Marton Balla looks on as his wife, Kate Mitchell, undergoes a Cesarean section on February 17, 2013
      Credit:         Kate Mitchell from Photo Kredit PRI's World
Isteriku dimasukkan ke wad kerana air ketuban telah pecah. Katanya bukaan hanya  2cm ketika itu. Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana masih  belum rasa sakit bersalin. Pada keesokan harinya barulah aku bertolak ke  hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai. Menatap wajahnya  yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak  menyentuh makanan sejak dari petang semalam. Aku menyuruhnya makan  sedikit, tetapi dia menolak kerana doktor telah menyuruh isteriku  berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku  menghulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnyaa dirimu..
Apabila jam menunjukkan pukul 10:00 pagi dengan bukaan seluas 4cm, dia  ditolak masuk ke dalam labour room. Entah kenapa dengan bukaan seluas  itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin. Aku pun confuse. Setahu  aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm. Dan aku  dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku  ditempatkan di bilik D. Dia memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu  akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah untuk bersalin. Aku mula  gelisah. Tak tentu arah. Mungkin itu adalah mitos yang direka oleh achi  India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk  aku sendirian.
Berbekalkan Quran burukku yang aku bawa bersama  barang-barang isteri dan baby yang bakal dilahirkan, aku selak helaian  440. Ya.. Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin.  Semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu  isteriku bersalin secara normal. Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli  surah karamah itu. Satu persatu perkataan dan ayatnya ku alunkan  perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti berdoa agar diselamatkan  isteri dan anakku.
Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat  Zohor, aku tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi memerhatikan gerak  langkahku menegurku
‘’Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu  belakang. Adik boleh jumpa isteri adik,’’pelawanya ramah.
Mungkin dia  sedar aku dah semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room.  Alhamdulillah. Kalau boleh jumpa tenang sikit hati aku sebab dari tadi  hanya membalas sms je. Keadaan sebenar isteri aku tidak aku ketahui.
Dari jam 10 sampailah jam 4 petang isteriku ditahan. Bukaannya sekarang  hanyalah 6cm. Setelah diinduce kali ke dua, bukaan rahimnya masih belum  membenarkan bayi untuk keluar. Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya  doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di dalam  kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak  panik, akhirnya tewas kepada diri sendiri. Air mata yang cuba ku sekat  agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah  mataku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan  isteriku.. Setiap kali itulah air mataku kan bercucuran jatuh ke  tangannya. Mana taknya.. dengan keadaan dirinya yang sudah tidak  bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk bagaikan direndam  ais, tubuhnya menggigil.
Dengan segala macam wayar berselirat di perut  dan tangannya.. Hatiku meruntun sayu. Para doktor meninggalkan aku dan  isteri untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali  terakhirnya aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini kerana doktor telah  membuat keputusan, isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi  yang hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik  bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku perasan mataku kembali  berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangatku.
‘’Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk Abang tu?’’
Pada ketika itu juga, aku tidak dapat menjawab dengan perkataan tapi  aku rangkul dirinya sambil menangis teresak-esak seperti tiada lagi esok  untuk kami bersama. Aku tidak mampu bersuara walaupun mengeluarkan  sepatah kata. Tapi, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa.  Walaupun dia ‘berpuasa’ , dia masih gagah. Masih kuat untuk memulihkan  semangatku yang semakin luntur..
‘’Abang.. Seandainya doktor  memberi pilihan, siapakah yang Abang ingin selamatkan, sayang atau anak  kita.. Abang tolong jawab ‘’ Selamatkan anak saya.. ‘’. Berilah anak  kita peluang untuk merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa  umminya di sisi..’’
Sekali lagi aku menangis semahunya. Aku tidak  mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan  kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan  pilihanku.
Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak untuk dibawa  ke bilik pembedahan. Aku menghantar Isteriku dengan lirik mata berair  sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk. Solat 2 rakaat. Aku  sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk diriku  lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku  menangis semahu-mahunya..
Sedari jam 4.30 petang aku menanti  penuh sabar di luar bilik pembedahan. Aku dail, aku telefon nombor  keluarga terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku  pohon dan merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteriku yang sedang  bertarung nyawa melahirkan seorang khalifah penambah ummat Nabi  tercinta. Mulutku tidak henti-henti menbacakan Hizbul Bahri. Zikir  berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah  Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.
1 jam berlalu.  Mundar-mandirku tidak mengeluhku untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh  berdiri dari tadi, tapi perasaan ingin tahu akan keadaan isteriku  melenyapkan semua keletihan itu. Akhirnya penantian aku berakhir..  Seorang nurse menolak troli tertutup.. incubator barangkali namanya..  dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak Cina. Oh! Rupa-rupanya,  bukan isteri aku seorang kat dalam. Ibu cina pun ada.
‘’Suami kepada Zulaikha’’ ‘’Suami kepada Zulaikha’’ jerit nurse mencari ‘Yusuf’ Zulaikha.
Orang ramai yang turut sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara  satu sama lain termasuklah aku. Tiba-tiba aku teringat. Akulah suami  Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pulak time-time macam tu. Aisehhh..  Biasalah beb. Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..
‘’Ya.. Saya kak. Saya suami dia’’
‘’Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang dan azankan dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata apa?’’
Nak kata apa pulak nurse ni. Alhamdulillah ke? Ke terima kasih nurse?  Mana aku tahu. Dah la rasa tak percaya pun ada yang anak cina yang aku  sangka tadi tu rupanya anak aku.. Boleh pulak dia suruh kata apa.  Aduilaa.. Nurse pun.
Mungkin nurse tu perasan aku tengah blur,  dia pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan jantinanya. Oh..  Nurse nak suruh aku buat pengakuan yang anak aku ni perempuan. Baru aku  faham.
‘’Perempuan nurse’’ kataku tersenyum malu.
Aku dakap  anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua pipinya lalu aku azan dan iqamatkan  di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya anak aku. Mata  hitam dia bulat besar. Taknak tutup pulak tu. Alhamdulillah.
‘’Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana keadaan dia?’’ tanyaku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini.
‘’Isteri encik selamat. Dia sedang dijahit. Kejap lagi dia keluar..’’
Tidak lama selepas itu, Isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah.  Syukur kepada-Mu ya Allah. Biarpun Kau mentaqdirkan dia bersalin secara  Caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi  memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya pada Mu  segala puji-pujian layak kami berikan.
Keluarnya isteri aku dari  bilik pembedahan bukannya dengan tangisan. Malah, tiada setitis air pun  yang aku perasan membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman  dia hadiahkan kepadaku. Terharu. Sungguh terharu. Aku kucup dahinya dan  mengucapkan
‘’Terima kasih Sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat Abang’’.
KisahBenar : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri kita sebaiknya.  Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah  kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada  kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri  tenangkanlah hati. Bila keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah  mereka dengan hikmah hasanah. Bukan dengan kekerasan yang bakal  mengundang padah.
Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang  bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya kan patahlah ia. Akan  tetapi andai dilentur dengan lemah lembut dan profesional, dia kan  menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal  selamanya.
[Sumber: Facebook Tukang Pos]
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://www.ismiqbal.com/2019/02/kisah-suami-semasa-isteri-bersalin.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Ismiqbal-Introvert+%28Ismiqbal+%3A+An+Introvert+Dad%29