Kisah Saya Dan Arwah Belalang
Syahril A. Kadir
KALAU sebut sahaja nama Bat Latiff, saya berani jamin tak ramai anak-anak muda sekarang mengenali atau tahu siapa figura yang saya sebutkan itu.
Namun sekiranya saya menyebut filem Nujum Pak Belalang, rasanya ramai yang pasti tersenyum sendiri.
Dalam filem tersebut, anda tentu perasan watak Belalang, anak kepada Pak Belalang (Allahyarham Tan Sri P.Ramlee) yang pintar dan lincah sehingga berjaya menjadikan bapanya itu ‘nujum istana’.
Kanak-kanak lelaki itulah Mohamad Ali H.A. Latiff atau lebih dikenali dengan nama Bat Latiff. Ketika berlakon dalam filem berkenaan, Bat baru berusia lapan tahun.
Cerita macam mana Bat ni boleh jadi pelakon memang menarik. Asalnya dia selalu pergi Studio Malay Film Production di Singapura kerana menjinjing beg solekan makciknya, Seniwati Datin Saadiah (Allahyarham) iaitu ibu kepada pelakon Fauziah Ahmad Daud.
Disebabkan terlalu nakal ketika berada di studio tersebut, arwah pelawak A.R Tompel menggelarkannya Jebat (Hang Jebat), itu yang boleh lekat nama Bat.
Suatu hari bila pengarah filem terkenal, Datuk Jamil Sulong (Allahyarham) bertanyakan sama ada dia berminat untuk berlakon filem atau tidak, Bat hanya menganggukkan kepala. Sejak itulah dia menjadi buruan pengarah filem di sana.
Walaupun lakonannya cukup hebat dalam filem Nujum Pak Belalang pada tahun 1959 sehingga filem berkenaan memenangi Anugerah Filem Komedi Terbaik Asia di Pesta Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun pada tahun 1960, namun rezeki Bat sebenarnya adalah pada filem Lela Manja apabila dia dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-5.
Bat sekali lagi membuat kejutan dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-7 pada tahun 1962 apabila dipilih kali kedua sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik melalui lakonannya yang cemerlang dalam filem, Gerhana.
Bat berhijrah dari Singapura ke Malaysia ketika umurnya mencecah awal 20an namun memilih untuk menjadi penari sepenuh masa dan banyak mengiringi persembahan artis-artis terkenal tanah air pada ketika itu.
Dipendekkan cerita, pada satu hari, lebih tepat pada 3 Mei 2005, saya kena bertugas di syif malam. Sebagai wartawan jenayah, saya kena ‘standby’ waktu-waktu sebegini sekiranya ada operasi polis atau kes-kes kecemasan.
Tiba-tiba saya dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki dewasa di sebuah pangsapuri di Desa Hillview Tower, Hulu Kelang, Selangor.
Apalagi kelam kabut saya dengan jurufoto bergegas ke sana menaiki kenderaan pacuan empat roda Misubishi Pajero milik syarikat.
Sesampainya kami di situ, suasa agak hening dan sunyi. Yang ada hanya dua buah kereta peronda polis. Tidak ada kilauan dan bunyi siren.
Mungkin anggota polis yang bertugas tidak mahu mengejutkan penghuni pangsapuri tersebut yang sedang lena, maklumlah jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi.
Tiba-tiba di sana saya terserempak dengan sahabat lama, Azizi Said. Saya mengenali Azizi kerana kami sama-sama pernah berlakon teater dengan arwah Khalid Salleh (Allahyarham) suatu ketika dulu.
Azizi ketika itu nampak resah ke sana dan ke sini sambil bercakap-cakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya. Bila nampak sahaja kelibat saya, kami berdua terus bersalaman.
“Syahril, abang Bat dah tak ada,” kata Azizi.
“Bat mana pulak ni?,” tanya saya terpinga-pinga kerana masih tidak tahu identiti mayat yang ditemui ketika itu.
“Bat Latiff…Belalang…Nujum Pak Belalang,” kata Azizi.
Menurut Azizi, dia adalah salah seorang teman baik Bat. Ujarnya, dia segera datang ke rumah Bat setelah seharian gagal menghubungi sahabat baiknya itu.
Sememangnya menurut Azizi, Bat mempunyai sejarah sakit jantung, kencing manis dan asma.
Daripada Azizi jugalah baru saya tahu yang Bat tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya dan tinggal sendirian di pangsapuri tersebut.
Polis kemudiannya mengesahkan yang Bat telah pun meninggal dunia sendirian ketika tubuhnya ditemui di ruang tamu. Usianya ketika itu 53 tahun.
Sejak itu setiap kali saya menonton filem Nujum Pak Belalang ataupun melalui kawasan perumahan tersebut, ingatan saya padanya pasti menerpa.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham yang telah pun 15 tahun pergi meninggalkan kita semua.
Negara sesungguhnya kehilangan sebutir permata seni yang berharga walaupun tak ramai mengetahui hari-hari akhir insan yang pernah dua kali dinobatkan pelakon terbaik di pentas antarabangsa ini.
Selamat jalan Bat Latiff.
AL FATIHAH – Malaysia Gazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/kisah-saya-dan-arwah-belalang.html