Kisah Malaysia Berkurung
Tajuk : KISAH MALAYSIA BERKURUNG - Pesan Cinta Daripada TuhanPenulis : Abdullah Bukhari Bin Abdul RahimPenerbit : Jejak Tarbiah PublicationsTahun terbit : 2020Jumlah muka surat : 147Harga : RM15
Buat pertama kalinya saya selesai membaca sebuah e-book. Biasanya sewaktu membaca, jari-jemari menyentuh helaian kertas buku. Tapi kali ini cuma memegang sebuah tablet dan menyelak helaian dengan sentuhan di hujung jari. Pengalaman yang berbeza! Disebabkan teringin nak membaca buku di atas yang pada masa saya membelinya hanya terbit dalam bentuk e-book, maka saya mula belajar menyesuaikan diri untuk membaca buku digital ini
Sesuai dengan tajuk, isi utama buku digital ini adalah berkaitan isu-isu semasa yang berlaku di awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara kita. Isu-isu semasa tersebut dikupas dari sudut pandang seorang agamawan (penulis adalah seorang yang mahir dalam bidang Tafsir al-Quran). Juga renungan hikmah yang kita perolehi disebalik ujian besar COVID-19
Doa-Doa Ketika WabakBerkenaan gesaan bacaan Yasin untuk menghentikan/menghindari wabak. Penulis menerangkan keutamaan mengamalkan doa-doa menghindari wabak yang dibaca dan diajar oleh Nabi SAW, berbanding hanya membaca Yasin. Penulis juga mengajak kita mengamalkan doa tawassul - menggunakan nama Allah. Semuanya dijelaskan dengan baik dan mudah saya faham
Isu-Isu SemasaAntara isu yang dikupas penulis adalah berkenaan fenomena nujum tilik 'dengan al-Quran' - ada yang mengaitkan ayat 33 surah al-Ahzab dengan PKP dan COVID-19. Sedangkan ia tiada kaitan. Penulis mengingatkan kita tentang amaran Nabi SAW - bahawa sikap memandai-mandai dengan al-Quran tanpa ilmu yang benar dan sahih boleh membawa kita ke neraka.
Isu lain yang disentuh dan dikupas adalah isu tutup masjid, hand sanitizer yang diruqyah dan lain-lain lagi. Semuanya dijelaskan dengan hujah al-Quran dan hadis
Muslim Mencari HikmahSebagai Muslim kita seharusnya mencari hikmah dalam setiap kejadian. Penulis mencatatkan antara hikmah PKP adalah menjadikan rumah kita sebagai masjid ganti, menjadi tumpuan malaikat. Memang betul, bila masjid tutup maka inilah peluang kita untuk mendirikan solat berjemaah bersama keluarga, tadarus al-Quran dan pengisian ilmu/ibadah lain. Teringat kisah seorang sahabat saya yang memberitahu bahawa hari ini, buat pertama kali dia berjaya khatam al-Quran di bulan Ramadan secara bertadarus bersama anak-anaknya. Sesuatu yang tak mungkin dapat dilakukan jika tiada PKP (atas sebab kekangan masa, rutin masing-masing). Inilah hikmah PKP. Saya tumpang gembira dan bahagia dengan pencapaian keluarga sahabat saya ni
Penulis juga menjelaskan bahawa COVID-19 dan PKP menjadi sebab mendapat pahala syahid dan pahala mematuhi pemimpin. Bagi mereka yang meninggal dunia disebabkan wabak COVID-19, kematian mereka dikategorikan sebagai mati syahid. Bagi kita yang kekal bertahan duduk di rumah, juga mendapat ganjaran syahid kerana sabar dan reda dengan wabak dan mendapat ganjaran pahala kerana mematuhi arahan pemimpin. Ya, di dalam Islam hukum mematuhi arahan pemimpin adalah wajib selagi arahan tersebut tak bercanggah dengan agama.
Membaca buku ini membuatkan kita merasa lebih tenang melalui PKP yang bersambung-sambung fasanya. Juga lebih faham dan tersedar dengan pesanan yang Allah sampaikan kepada kita menerusi sebuah musibah pandemik
Reka letak buku digital ini juga menarik, mudah dibaca dan tak membosankan. Cuma saya kurang puas hati sebab tak boleh 'menconteng' seperti kebiasaan bila membaca bahan ilmiah...haha! Maka saya dah merancang nak memiliki buku versi fizikal yang sekarang sedang dalam proses cetakan. Mudah nak belek-belek lain kali
Bagi yang nak mendapatkan buku ini sama ada versi digital atau buku fizikal, boleh beli di Instagram : Warung Kaki Buku. Ada harga promosi sepanjang Ramadan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2020/05/kisah-malaysia-berkurung.html