Kimanis Kesilapan Pertama Ilham Centre Sejak 12 Tahun
Nizam Zain                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Dr.  Hamidin Abdul Hamid bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan  Pengajaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto  AFFAN FAUZI 
KUALA LUMPUR – Ramalan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK)  Parlimen Kimanis merupakan kesilapan pertama yang dilakukan badan  pemikir Ilham Centre sejak hampir 12 tahun membuat kaji selidik mengenai  pilihan raya.
 Perkara diakui sendiri oleh Felonya, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid  sambil menyifatkan kesilapan itu memberi banyak kebaikan kepada badan  pemikir itu untuk lebih berhati-hati membuat kaji selidik pada masa akan  datang.
 “Ini adalah kali pertama buat kesilapan selepas hampir 12 tahun  dalam kaji selidik dan hampir 36 kaji selidik dalam survey mengenai  pilihan raya sebagai pengamal kaji selidik.
 “Saya tahu ada orang senyum, ada juga ketawa, kita banyak belajar,  saya fikir ia sesuatu yang baik datang daripada Kimanis dan betapa  uniknya landskap di Sabah sehingga ke satu peringkat,” katanya dalam  Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini,  malam ini.
 Pada 16 Januari lalu, iaitu dua hari sebelum hari pembuangan undi,  Ilham Centre mengeluarkan dapatan kaji selidiknya mendapati, calon  Warisan, Datuk Karim Bujang menang selesa dalam PRK Parlimen Kimanis.
 Hasil kajian badan pemikir itu mendapati Karim selaku bekas Ahli  Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Bongawan selama lima penggal mempunyai  kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.
 Menurut ketua penyelidiknya, Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu  berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri  daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.
 Dalam pada itu, Hamidin juga mengakui bahawa pihaknya terlepas  pandang terhadap kesan besar yang dibawa dalam isu Pas Sementara Sabah  (PSS) dan ia disedari selepas laporan ramalan PRK Kimanis itu didedahkan  kepada pengetahuan umum.
 “Berdasarkan dapatan kami, pada asasnya kami sedar ia lebih besar  kepada isu tempatan. Dalam ramalan kami kita letakkan PSS sebagai snow  ball effect, kita sedari. Bukannya isu utama, tapi ia sesuatu yang kerap  kali digunakan dalam berkempen,” katanya.
 Selepas laporan itu dikeluarkan, Ilham Centre turut menyedari bahawa  Warisan meletakkan keyakinan terlalu tinggi untuk merampas kubu kuat BN  itu hanya kerana Warisan merupakan parti pemeritnah di Sabah.
 “Kami dapat rasa Warisan terlalu yakin dengan kelebihan sebagai  Kerajaan Negeri Sabah dan jentera berkempen lebih sempurna berbanding  parti pembangkang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/kimanis-kesilapan-pertama-ilham-centre.html