Khairuddin Surendran Selar Nurul Izzah Tidak Beretika
MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                              

Nurul  Izzah Anwar yang melepaskan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang  Negara (PAC) melontarkan pandangan tentang kerajaan Pakatan Harapan yang  disifatkan sebagai huru-hara selain kepayahan beliau untuk bekerja  bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang baginya bekas diktator yang telah  banyak merosakkan negara dan keluarganya.
KUALA LUMPUR – Kenyataan  Nurul Izzah Anwar mengenai  kepayahan beliau bekerja di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang  disifatkan sebagai bekas diktator yang telah banyak merosakkan negara  dan keluarganya mendapat reaksi dari rakan-rakan Pakatan Harapan.
 Antara yang menyelar kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu malam  ini adalah Penyelaras Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan dan bekas  Naib Presiden PKR, N. Surendran.
 Khairuddin menyifatkan pandangan Nurul Izzah yang dilontarkan semasa  temuramah dengan Straits Times Singapura itu sebagai amat emosional dan  tidak rasional selain tidak beretika.
 “Memberi komen-komen negatif terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di luar negara amat tidak wajar!! Ini cukup tidak beretika!!
 “Di dalam negara; kita semua lafaz sokongan pada Tun Dr Mahathir  Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi bila berada di luar  negara kita beri gambaran negatif pula terhadap beliau!!” katanya dalam  hantaran di laman Faebook. 

Datuk Khairuddin Abu HassanNurul Izzah dalam temuramah yang disiarkan hari ini turut membuat  rumusan kerajaan Pakatan Harapan sebagai dangat mencabar dan huru-hara  menyebabkan beliau patah hati untuk terus berada dalam kerajaan.
 Mengulas lanjut, Khairuddin turut secara tidak langsung  mempertikaikan keikhlasan Nurul Izzah apabila anak sulung Datuk Seri  Anwar Ibrahim itu menggunakan platform luar negara sedangkan beliau  boleh meluahkan rasa tidak puas hati itu kepada Dr Mahathir.
 Beliau juga mempersoalkan mengapa Nurul Izzah terus mengungkit  kisah-kisah silam di saat semua sudah berikrar untuk berganding bahu  secara erat bagi membina semula negara yang beliau dakwa rosak teruk di  bawah kerajaan sebelum ini.
 “Inilah masalah di antara rakan-rakan dalam Pakatan Harapan!! Segelintir daripada mereka tidak ikhlas sesama sendiri!!
 “Sekiranya inilah sikap tidak ikhlas dan tiada semangat  kesetiakawanan sesama kita; macam mana tun dr mahathir mohamad nak  kemudi negara ke era lebih gemilang dan cemerlang?” soal beliau.
 Maruah negara
 Beliau juga percaya bahawa Nurul Izzah yang matang dalam politik  turut bersetuju pandangan yang dilontarkan terhadap perdana menteri di  Singapura sebagai amat tidak beretika dan bakal mengaibkan imej Dr  Mahathir serta mencemar maruah negara.
 “Ini adalah satu gerakan yang dirancang secara terancang untuk  menjatuhkan kredibiliti tun dr mahathir mohamad seterusnya menggulingkan  beliau dari jawatan Pedana Menteri Malaysia!!” katanya.
 Khairuddin juga merumuskan apa yang berlaku adalah gerakan untuk  menggulingkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia yang masih  digerakkan oleh pihak tertentu demi mencapai agenda politik mereka.
 Beliau turut menasihatkan perdana menteri supaya berwaspada di antara bulan Mac sehingga November tahun ini.
 “Seandainya kalangan parasit ini bersikap keterlaluan; saya akan  perangi mereka secara habis-habisan walaupun terpaksa lawan seorang  diri!!
 “Alang-alang seluk pekasam; biar sampai ke pangkal lengan!!’ Pantang anak melayu berundur sebelum melawan!!” katanya. 

N. SurendranSementara itu bekas Naib Presiden PKR, N. Surendran di laman  Twitternya juga mempertikaikan kenyataan Nurul Izzah dan menyifatkannya  sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
 “Adakah ini boleh diterima? Ketika ada pertikaian tentang perjanjian  air dan konflik wilayah, ahli parlimen PH menyatakan bahawa perdana  menteri sebagai “bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan’ dalam  wawancara akhbar harian utama Singapura.
 “Masa, ruang dan cara ia disampaikan, semuanya tidak betul,” kata Surendran.
 Dalam temuramah itu, Nurul Izzah yang meletak jawatan dalam  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga membangkitkan tindakan  Pakatan Harapan menerima masuk wakil rakyat Barisan Nasional yang  melompat parti. – MalaysiaGazette  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/khairuddin-surendran-selar-nurul-izzah.html