Ketua Cawangan Serian Keluar Parti Kerana Tak Dipilih Jadi Calon Prn Kata Dap
   Larissa Lumandan

Chong Chieng Jen menjangkakan Edward Andrew Luwak akan membantu calon 
baru dan muda untuk PRN akan datang.KUCHING: DAP hari ini berkata, Ketua Cawangan Serian, Edward Andrew  Luwak keluar parti kerana kepimpinan negeri tidak memilihnya sebagai  calon pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata beliau sudah memberi  bayangan kepada Luwak beberapa bulan lalu yang parti akan meletakkan  calon baru untuk salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di  Serian.
“Beliau kelihatan tidak gembira mengenainya dan itu mungkin alasannya  keluar parti,” kata Chong pada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, Luwak mengumumkan beliau meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan keluar parti dinyatakan dalam surat yang diberikan kepada  parti. Saya tidak perlu menyatakan dengan terperinci, tetapi saya hanya  mahu kata saya telah hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti,”  kata Luwak yang berusia 67 tahun.
Katanya, beliau tidak akan berundur daripada arena politik, tetapi belum memutuskan untuk menyertai parti lain.
Luwak mewakili DAP di kerusi Parlimen Serian pada pilihan raya umum 2013 dan kerusi Bukit Semuja pada PRN 2016.
Beliau bertanding semula di Serian pada PRU 2018, tetapi tewas kepada Richard Riot daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
   “Disebabkan parti sudah menyalurkan sumber untuk membantu beliau  ketika bertanding dalam 3 pilihan raya lalu, beliau patut membalasnya  dengan membantu ahli baru dan muda yang ingin menawarkan khidmat  mereka,” kata Chong.
Beliau berkata, jawatankuasa DAP Sarawak melantik Ketua Pemuda  Serian, Brolin Nicholson mengambil alih pengurusan cawangan itu sehingga  perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka diadakan bulan depan atau  Ogos ini.
Chong mengucapkan terima kasih kepada Luwak atas semua sumbangannya kepada parti dan kawasan Parlimen itu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/ketua-cawangan-serian-keluar-parti.html