Pkr Tak Mungkin Sokong Shafie Jadi Calon Pm Kata Penganalisis
  Robin Augustin

Shafie Apdal tidak menyokong Anwar Ibrahim menjadi calon PM.PETALING JAYA: Dua penganalisis politik berkata, rancangan menamakan  Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri  pembangkang memerlukan sokongan PKR, tetapi ia tidak mungkin berlaku.
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, PKR  bertegas mahu Presidennya, Anwar Ibrahim menjadi calon PM dan idea itu  tidak disokong Warisan.
“Ini boleh menjadi strategi perang saraf untuk beralih daripada isu  sebenar yang dihadapi Warisan dan Pakatan Harapan. Ia juga boleh menjadi  sebahagian daripada strategi untuk mencegah pembelotan beramai-ramai  dari Warisan ke Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.
Katanya, PKR akan mempersoalkan kenapa Shafie dicadangkan  sebagai calon PM berbanding gandingan Anwar dan Shafie sebagai PM serta  timbalan perdana menteri.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat Shafie  jelas ialah pilihan Dr Mahathir Mohamad dan proksi bekas perdana menteri  berusia 94 tahun itu.
“Berbanding Anwar, Shafie tidak mempunyai pengaruh politik untuk mendapatkan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan PN.”
Katanya, cubaan baru-baru ini untuk menjejaskan kestabilan kerajaan  Sabah pimpinan Warisan, termasuk pembelotan 2 Adun, menunjukkan jumlah  sokongan terhad yang diperolehi Shafie di “kubunya” sendiri.
Beliau berkata, Shafie berdepan risiko dicabar bekas ketua menteri,  Musa Aman yang dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang  serta masih berpengaruh di negeri itu.
   “Tanpa sokongan PKR, mustahil PH boleh kembali menguasai Putrajaya.”
Katanya, memilih Shafie sebagai calon PM ialah “strategi  sangat lemah, kelihatan terdesak dan tidak dipertimbangkan dengan baik”.
Saintis politik, Wong Chin Huat berkata, Sarawak ialah kunci merampas kembali Putrajaya.
Katanya, jika GPS tidak menyertai usaha menentang PN, sesiapa saja  yang menjadi calon PM disokong PH hanya mendapat gelaran kosong.
“Persoalan sebenar ialah PH Plus boleh berikan apa kepada GPS yang PN  tidak boleh tandingi?” soal Wong yang mengetuai kumpulan reformis  Engage.
Walaupun GPS memihak kepada mereka, pembangkang masih perlu  mendapatkan sokongan sejumlah ahli Parlimen dari Umno dan PPBM untuk  mengelakkan sebarang bantahan “atas nama orang Melayu dan Islam” untuk  mengadakan pilihan raya mengejut.
Bagaimanapun, Wong tidak nampak pembelotan akan berlaku kerana pembangkang kelihatan lemah dan tidak stabil.
Beliau mempersoalkan atas dasar apa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin  akan tunduk kepada tuntutan pembangkang untuk membubarkan Parlimen.
“Daripada pendirian Umno dan PAS, pilihan raya mengejut ialah hasil  terbaik. Mereka boleh menang 90 hingga 100 kerusi dengan atau tanpa  PPBM.”
Katanya, cubaan PH menggulingkan PN mungkin hanya mengukuhkan kedudukan Umno dan PAS selama 5 tahun.
Beliau mengimbau langkah Anwar selepas pilihan raya umum 2008 untuk  merancang pembelotan daripada Barisan Nasional. Daripada menjatuhkan  Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, langkah itu  menyaksikan pesaing lebih kuat Najib Razak menjadi PM.
“Kenapa Amanah dan DAP perlu sokong langkah sedemikian? Saya bingung,” kata Wong.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/pkr-tak-mungkin-sokong-shafie-jadi.html