Keterangan Hilman Tentang Dakwaan Ugut Haziq Sudah Cukup
SEPANG - Setiausaha politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini sebentar tadi berhubung laporan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa dia diugut oleh Hilman minggu lalu.
Hilman tiba di pekarangan IPD Sepang pukul 11.05 pagi sebelum dilihat keluar semula kira-kira lima minit kemudian.
Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu, IPD Sepang membatalkan keterangan yang akan dibuat olehnya ekoran keterangan yang diberikan beliau di IPD Putrajaya sudah mencukupi untuk siasatan kes tersebut.
“Tujuan keterangan saya diambil pagi ini berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Haziq Abdullah di Petaling Jaya mengatakan saya mengugutnya.
“Haziq mendakwa kes itu berlaku di Hotel Mariot yang berada di bawah IPD Sepang. Oleh itu, IPD Sepang memanggil saya namun, mereka tidak jadi untuk merekod keterangan saya ekoran keterangan yang diberikan di IPD Putrajaya pada Jumaat lalu sudah mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Sepang di sini hari ini.
Sebelum ini, Haziq yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin membuat laporan polis selepas mendakwa Hilman melakukan ugutan terhadapnya dalam satu pertemuan Zest Coffee House, Hotel Marriot di sini kira-kira pukul 2.40 petang pada 11 Jun lalu.
Bagaimanapun, Hilman menafikan dakwaan itu dan menjelaskan pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Hilman mengakui telah bertemu dengan Haziq selepas satu video intim antara Haziq dan individu menyerupai Azmin tular sejak Selasa lalu.
Sementara itu, Hilman berkata, beliau telah diminta oleh Azmin agar memberikan segala kerjasama kepada pihak polis agar siasatan berkaitan kes tersebut dapat diselesaikan dengan segera.
Jelasnya, pada peringkat kementerian, pihaknya telah dimaklumkan secara rasmi oleh pihak polis semalam untuk memohon tarikh dan waktu untuk Azmin hadir memberi kenyataan.
“Kita telah berbincang di peringkat pejabat menteri dan Azmin telah arahkan supaya kita memberi keutamaan kepada beliau untuk memberi kenyataan berhubung kes itu.
“Bagaimanapun, memandangkan jadual kerjanya hari ini dan esok agak ketat ekoran ia sudah disusun lama, kita masih lagi teliti waktu yang sesuai. Tapi, beliau akan hadir memberi kenyataan sama ada hari ini atau esok,” katanya. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2019/06/keterangan-hilman-tentang-dakwaan-ugut.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29