Kes Ltte Mahkamah Tolak Permohonan Ikat Jamin Adun Gadek
HIDIR REDHUAN ABDUL RASHID 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ikat jamin Adun Gadek  G Saminathan berkaitan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan  pengganas LTTE .
Keputusan dibuat hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.
Selain  Saminathan yang berada di kandang tertuduh, turut hadir adalah  isterinya V Umadevi dan anggota keluarga; beberapa pemimpin DAP seperti  Lim Kit Siang (penasihat), Charles Santiago (anggota parlimen Klang) dan  Khoo Poay Tiong (adun Kota Melaka); serta Timbalan Pengerusi PSM S  Arutchelvan
Ahmad Shahrir menjadi hakim pertama yang menolak permohonan ikat jamin untuk kes berkaitan LTTE berdasarkan merit
Pada  24 Januari lalu, Ahmad Shahrir bersetuju bahawa beliau terikat dengan  keputusan mahkamah tinggi lain bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan  Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau dikenali juga sebagai  Sosma - yang melarang mahkamah menimbang permohonan ikat jamin bagi kes  berkaitan keganasan, sebagai tidak sah dan bertentangan dengan  Perlembagaan Persekutuan
Pada hari itu beliau juga mendengar  penghujahan pendakwaan dan pembelaan berkenaan sama ada Saminathan perlu  diberi ikat jamin, dan menetapkan hari ini untuk keputusannya.
Prosiding itu susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Seksyen 13 Sosma sebagai bertentangan dengan Perlembagaan, antara lain kerana merampas kuasa mahkamah untuk memberi ikat jamin dalam kes berkaitan keselamatan.
Ahmad  Shahrir berkata, permohonan ikat jamin ditolak antaranya kerana LTTE  masih diwartakan sebagai pertubuhan pengganas, berdasarkan warta Akta  Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil  Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).
Ia relevan kepada dua  pertuduhan yang dihadapi Saminathan, iaitu sokongan kepada LTTE dan  memiliki barang yang berkaitan dengan kumpulan itu, kata Ahmad Shahrir.
Bagaimanapun  beliau mengambil maklum bahawa pertubuhan yang telah dibubarkan itu  tiada lagi dalam senarai pertubuhan pengganas aktif di Kesatuan Eropah,  Switzerland dan Sri Lanka, di mana kumpulan itu diasaskan.
"Pasti ada sebab munasabah untuk menganggap LTTE diwartakan (sebagai kumpulan pengganas), kerana ia belum dibatalkan.
"Menteri  dalam negeri telah mengambil kira faktor lain seperti keselamatan dan  ketenteraman awam. Bergantung kepada pembuat dasar (untuk menimbang  pembatalan status LTTE dalam warta) dan mahkamah tidak akan menceroboh  bidang kuasa itu," katanya.
Katanya lagi, permohonan Saminathan  turut ditolak kerana salah satu pertuduhan terhadapnya, iaitu mengikut  Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman penjara seumur  hidup atau maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu,  Saminathan turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan,  yang membawa hukuman penjara tak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit  kesalahan, atas pertuduhan memiliki barang berkaitan LTTE.
LIHAT VIDEO DI SINI
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/kes-ltte-mahkamah-tolak-permohonan-ikat.html