Kerjasama Pas Dan Bn
Kerjasama UMNO - PAS adalah kerjasama dan persefahaman politik yang masih baru. Ia belum lagi menjadi satu kerjasama yang formal dan insyallah akan bertumbuh dan mengukuh secara organik sesuai masa. Meskipun dalam peringkat awal, ianya telah membuahkan hasil yang memberangsangkan setakat ini terutama bila ia melibatkan isu-isu strategik Islam dan Melayu
UMNO juga sangat memahami halangan-halangan yang timbul untuk menjayakan apa jua kerjasama politik. Setiap parti ada kekangan masing-masing dan halangan yang wujud adalah normal kepada sebuah perkara yang baru dan jarang berlaku. Oleh yang demikian, UMNO dan PAS harus diberi masa untuk mencari pelbagai titik persamaan dan sedikit-demi sedikit mengurangkan perbezaan demi kepentingan umum.
Tunjang utama kerjasama ini adalah daripada keikhlasan nurani, kesatuan niat dan amal semua pihak demi menjaga dan memakmurkan kepentingan bersama Melayu-Muslim yang dilihat kian tidak menentu dalam pemerintahan Pakatan Harapan. Maknanya kerjasama UMNO - PAS menjangkaui pilihanraya kecil Semenyih. Maka banyak perkara yang masih boleh diperbaiki, diteruskan dan diolah demi kepentingan kedua-dua parti dalam menawarkan alternatif kepada Kerajaan Pakatan Harapan
Bagi pilihanraya Semenyih pula, UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama untuk memenangkan Semenyih. Kita berharap sokongan semua orang, Melayu dan bukan Melayu, PAS dan bukan PAS, pelbagai pertubuhan dan individu. Hakikatnya, pilihanraya ini bukanlah berkisar tentang kerjasama UMNO - PAS semata-mata. Fokus utama adalah kegagalan kerajaan kakistokrasi Pakatan Harapan dalam melaksanakan janji, merendahkan kos sara hidup, harga barangan harian, serta hal-hal asas ekonomi yang lain. Semua isu-isu ini amat dirasai oleh rakyat di Semenyih dan seluruh negara ketika ini
Kerjasama UMNO dan PAS lebih besar dan strategik nilai dan kepentingannya dari hanya menghadapi sebuah pilihanraya di Semenyih. Ia berkisar tentang orang Melayu – Muslim yang merasa mereka semakin marjinal. Telah ada usaha-usaha yang sistematik yang mula mengenepikan mereka dari arus pembangunan dan wacana politik negara. Identiti, agama dan cara hidup mereka semakin digugat, secara zahir mahupun tersembunyi agar ideologi 'Malaysian - Malaysia, No Race, No Religion' direalisasikan.
Ideologi ini adalah manifestasi jelas kepada ketidakhirauan kerajaan Pakatan Harapan dan ahli-ahli politik DAP terhadap budaya dan nilai hidup orang Melayu - Muslim. Ia sama sekali mengenepikan karakter Malaysia dan mewujudkan keraguan pada diri orang Melayu terhadap kemampuan kerajaan Pakatan Harapan, dalam menjaga nilai, cara hidup dan norma budaya orang Melayu pada abad ke-21.
Sehingga ini, tiada satu pun pelan konkrit menyentuh peningkatan tahap pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya orang Melayu yang diumumkan serta dengan serius diusahakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Akhirnya, suka untuk diingatkan bahawa sebarang kenyataan daripada mana-mana pimpinan Pakatan Harapan seakan tidak boleh diambil serius kerana semenjak sembilan bulan lepas, segala janji dalam menifesto mereka gagal ditunaikan. Apatah lagi, pelbagai insiden yang terjadi menyentuh kredibiliti mereka telah terserlah. Kalau kelayakan akademik mereka pun menjadi debat umum, ini kan pula kenyataan politik mereka !!
Dato Seri Mohamad bin Haji HasanTimbalan Presiden UMNO
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://taipingmali.blogspot.com/2019/02/kerjasama-pas-dan-bn.html