Kerja Atau Sambung Belajar
Kerja atau sambung belajar selalu menjadi dilema bagi kebanyakan pelajar universiti selepas menghadiri majlis konvokesyen di universiti masing-masing seminggu dua ini.
Kalau terus bekerja, ada pendapatan. Kalau sambung belajar, tambah lagi hutang belajar. Lagi perit kalau graduan ijazah yang dah mula berhutang dari zaman diploma.
Dilema
Kebanyakan pelajar berfikir faktor kewangan yang menjadi perkara utama mereka risaukan apabila ingin melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.
Ada juga yang berpendapat menyambung pelajaran tidak boleh menjadi jaminan yang mereka akan mendapat kerja yang lebih bagus.
Ada juga mengatakan yang sambung belajar lebih baik daripada menganggur sementara mencari kerja yang baik. Persaingan dalam pasaran pekerjaan semakin lama semakin sengit.
Tidak kurang juga yang berpendapat menyambung pelajaran sehingga peringkat doktor falsafah (phD.) menjanjikan mereka untuk menyandang jawatan sebagai pensyarah di pusat pengajian tinggi.
Kerja dapat duit
Ada juga yang berpendapat bekerja lebih baik bagi menjana pendapatan dan menyimpan duit untuk keperluan masa depan terutamanya apabila bekeluarga kelak.
Itu adalah antara beberapa persoalan yang menjadi dilema kerja atau sambung belajar bagi graduan-graduan yang baru menamatkan pengajian.
Prioriti dalam pertimbangan
Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam menyelesaikan dilema bekerja atau menyambung pelajaran adalah apa yang ada dalam diri pelajar sendiri.
Dato Dr Ismail Alias, seorang ahli psikologi dan juga bekas panel penemuduga di sektor kerajaan menggariskan beberapa perkara penting yang harus diambil kira dalam membuat pertimbangan antara kerja atau sambung belajar.
Persoalan berikut mampu membantu pelajar untuk membuat pilihan sama ada kerja atau sambung belajar.
Adakah dengan bekerja/belajar mampu menyerlahkan diri kita yang sebenar?Adakah kita akan berasa gembira ketika bekerja/belajar?Adakah kita mampu untuk memahami sesuatu pelajaran dengan baik dan berjaya menamatkan pembelajaran dengan baik?Adakah pekerjaan yang akan kita ambil menjamin kita untuk bersemangat dan terus bekerja dalam masa yang panjang?
Sebelum menjawab persoalan di atas, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu mengenai peribadi diri kita dan sekaligus menilai kekuatan diri kita iaitu dari segi:
Akademik
Mempunyai kelayakan akademik yang sesuai mengikut bidang yang diambil.
Minat
Perkara yang sering dilakukan semasa waktu lapang.
Personaliti
Nilai-nilai dalam diri seperti empati dan toleransi yang akan menyerlahkan diri sebenar seseorang individu.
Sikap
Perbuatan yang menjadi sebahagian dalam hidup seseorang individu.
Untuk mengenali personaliti diri, ada beberapa cara untuk mengetahuinya iaitu dengan melakukan salah satu ujian daripada senarai ini bagi membantu dalam menyelesaikan dilema kerja atau sambung belajar.
The Keirsey Temperament Sorter (KTS)/Myers-Briggs
The Keirsey Temperament Sorter (KTS) dan Myers-Briggs adalah soal selidik personaliti yang boleh dinilai secara kendiri. Soal selidik ini direka untuk membantu individu lebih mengenali diri mereka dan orang lain.
Sikap yang terdapat dalam soal selidik Keirsey Temperament Sorter (KTS) ada empat iaitu:
Terampil (Artisan)
Berkata APA dan melakukan YANG BERFUNGSI.
Pelindung (Guardian)
Berkata APA dan melakukan APA YANG BENAR.
Idealis
Berkata APA YANG MUNGKIN dan melakukan APA YANG BENAR.
Rasional
Berkata APA YANG MUNGKIN dan melakukan YANG BERFUNGSI.
Begitu juga dengan Myers-Briggs, sikap seseorang dinilai menggunakan empat jenis penunjuk dan akan digabungkan untuk mengenalpasti sikap seseorang. Empat jenis penunjuk itu adalah:
Dunia kegemaran
Sama ada dunia luar (Extrovert) atau dunia sendiri (Introvert).
Informasi
Sama ada deria (Sensing) atau gerak hati (Intuition)
Keputusan
Sama ada Berfikir (Thinking) atau Perasaan (Feeling)
Struktur
Sama ada Menilai (Judging) atau Sedar (Perceiving)
Apabila digabungkan empat jenis penunjuk ini, maka akan memberi keputusan bagi personaliti seseorang. Sebagai contoh, INTJ adalah personaliti yang mempunyai penunjuk Introvert, Intuition, Thinking dan Judging.
Enneagram
Enneagram adalah model dari jiwa manusia yang secara asasnya difahami dan diajar sebagai tipologi sembilan jenis personaliti yang saling berkaitan. Personaliti tersebut dikenali mengikut nombor seperti berikut:
Nombor 1: Reformator (Peacemaker)Nombor 2: Penolong (Helper)Nombor 3: Peraih (Achiever)Nombor 4: Individualis Nombor 5: Pemeriksa (Investigator)Nombor 6: Setia (Loyal)Nombor 7: Semangat (Enthuasist)Nombor 8: Penentang (Challenger)Nombor 9: Pendamai (Peacemaker)
Terdapat tiga gaya personaliti yang saling berkaitan dalam Enneagram iaitu
Berkaitan (Relating)
Nombor 8, 9 dan 1
Perasaan (Feeling)
Nombor 2, 3 dan 4
Lakukan (Doing)
Nombor 5, 6 dan 7
Kesimpulan
Pilihan terbaik sama ada bekerja atau menyambung pelajaran terletak pada setiap individu. Pengaruh luaran bukanlah penentunya.
Pastikan kita mengetahui nilai diri kita sama ada akan lebih menyerlah apabila bekerja atau menyambung pelajaran.
Buatlah pertimbangan sewajarnya dan mohonlah petunjuk dari Yang Maha Mengetahui sekiranya mencapai jalan buntu.
The post Kerja atau sambung belajar appeared first on Radio Senyap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.radiosenyap.com/2019/10/kerja-atau-sambung-belajar.html