Kerajaan Pn Kerajaan Dua Wajah
Ada sebuah filem klasik Hollywood yang berjodol The Good, The Bad and The Ugly, dibintangi antara lainnya oleh aktor terkenal Clint Eastwood. Filem itu menceritakan tiga watak – yang baik, jahat dan memualkan.
Ada sebuah memoir di tulis oleh Profesor Dr Syed Husin Ali yang bernama Dua Wajah yang menceritakan pengalamannya di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun (1974 – 1980).Bekas Senator Dewan Negara dan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu menceritakan di dalam memoirnya itu terdapat dua wajah polis yang menahannya, iaitu polis baik dan polis jahat.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah Malaysia sekarang bermula dari 1 Mac 2020 nampaknya menzahirkan pelaku-pelaku yang saling tak tumpah seperti watak-watak dalam filem The Good, The Bad and The Ugly.
Rakyat sendiri boleh mencari siapa menteri yang baik, siapa menteri yang jahat dan siapa pula menteri yang memualkan.
Tidak berupaya menceritakan di sini secara terperinci dan panjang lebar kerana penulis boleh sahaja didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.Atau lebih parah di bawah seksyen 4 Akta Hasutan. Sekarang kan Kerajaan Darurat?
Yang terbaru adalah isu berkenaan undang-undang kompaun berkaitan pelanggaran SOP. Tular berita peniaga burger dikompaun RM50,000.
Akhabr Sinar Harian 28 April 2021 menyiarkan berita Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, “Segala tindakan mengenakan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) adalah untuk pencegahan dan pengajaran.
Kenyataan Menteri Undang-Undang itu nampak keras dan tegas. Ini nampaknya macam watak The Bad dalam filem Clint Eastwood itu. Macam watak polis jahat dalam Memoir Dua Wajah tulisan Profesor Syed Husin Ali.
Reaksi rakyat amat luar biasa marah kepada Kompaun RM50,000 yang dikenakan ke atas seorang penjual burger yang berniaga di depan rumahnya sendiri.
Salah kerana langgar SOP dan perlu dihukum, rakyat ramai boleh terima.Hukumlah penjual burger itu, kalau dia bersalah, tetapi berpatut-patutlah. Biar nampak adil, bertimbang rasa dan berbudi-bicara.
Peniaga burger itu hanya menjual makanan di bulan Puasa bukannya menjual dadah atau jadi sindiket kartel daging import yang tidak halal.
Perdana Menteri Muhyiddin terasa bahang kemarahan rakyat di dunia maya internet, di halaman facebook, instagram, twitter, whatsapp dan lain-lain.
Ahli Parlimen Pagoh ini saya rasa, tentunya mendapat taklimat dari Pengarah Cawangan Khas dan lain-lain agensi risikan negara.
Muhyiddin ini, dia orang yang tahu juga politik dunia antarabangsa. Muhyiddin tentu masih ingat peristiwa tercetusnya Arab Spring di Tunisia.
Rakyat Tunisia bangkit menunjuk perasaan besar-besaran sehingga tumbangnya Kerajaan Presiden Zainal Abidin Ali, dan Presiden itu bersama isterinyanya terpaksa cabut lari ke Eropah. Apa puncanya?
Spark atau percikan api itu hanya bermula dengan satu peristiwa di mana Pihak Penguatkuasa yang tidak bertimbangrasa menangkap dan menghukum seorang penjaja jalanan yang tidak ada lesen berniaga.
Penjaja muda yang terhimpit hidupnya itu mengambil keputusan menjirus tubuhnya dengan petrol dan membakar diri sendiri hingga mati.
Percikan api dan kematian penjaja muda itu kemudiannya mencetuskan kebangkitan rakyat Tunisia untuk menentang kerajaan sehingga tumbang kerajaan Tunisia itu.
Kemudian Arab Spring itu merebak ke Mesir, sehingga tumbang pula diktator Presiden Mubarak yang telah berkuasa selama 30 tahun.
Jadi pada hari ini, 29 April 2021, muncul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai watak baik seperti hero Client Eastwood atau wajah polis baik dalam memoir Syed Husin Ali.
Akhabr Sinar Harian yang melaporkan kenyataan Takiyuddin pada semalam 28 April, kini menyiarkan pula kenyataan Muhyiddin di muka hadapan yang berbunyi, “Bertimbang rasa, berpada-pada kenakan kompaun,”
Muncul Muhyiddin dengan wajah seorang Perdana Menteri yang baik. Lega hati rakyat membaca kenyataan Muhyiddin itu.
Demikianlah Kerajaan PN menonjolkan dua wajah. Apa sebab musabab sebenarnya?
Puncanya satu sahaja. Dalam hal menggubal undang-undang, menentukan hukum berat atau ringan, semuanya itu bukan kerja Kerajaan. Itu kerja parlimen.
Tetapi dalam tempoh Darurat sekarang dan parlimen digantung, maka jadilah Kerajaan PN sebuah Kerajaan 3 dalam satu. Macam pakej kopi 3 dalam satu.
Kerajaan Muhyiddin buat undang-undang; Kerajaan Muhyiddin laksanakan undang-undang; Kerajaan Muhyiddin juga jatuhkan hukuman.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
29 April 2021 (Khamis).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/04/kerajaan-pn-kerajaan-dua-wajah.html