Kerajaan Perlu Dedah Keseluruhan Hasil Siasatan Nahas Lrt
Laporan siasatan nahas tren LRT pada 24 Mei lalu mesti didedahkan kepada umum sepenuhnya bagi mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut terjadi.
Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pengangkutan, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, laporan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan mengenai kemalangan itu kepada kabinet tidak boleh dirahsiakan sebahagiannya dan didedah sebahagian yang lain.
“Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong laporan itu telah dibuat secara profesional dan komprehensif dalam masa yang ditetapkan.
“Wee juga mendedahkan mengikut hasil siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati nahas itu disebabkan masalah
komunikasi, ralat teknikal dan kecuaian manusia.
“Saya menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan agar membentangkan laporan siasatan nahas ini kepada umum kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan awam. Selain itu, kerajaan juga wajar mengambil serius dan memberi jaminan agar tragedi ini tidak berulang,” kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan.
Bagi Ahli Parlimen Ledang itu, nahas tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini dan wajar menjadi iktibar buat Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan pengendali LRT, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Manakala, katanya, kebajikan mangsa nahas juga perlu diambil berat dan menjadi tanggungan kerajaan.
“Aspek kebajikan mangsa yang terlibat dan rakyat yang terkesan akibat insiden ini wajar terus diperhatikan.
“Selain daripada khidmat bantuan buat mangsa yang terlibat, kerajaan harus menggalas tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kemudahan pengangkutan awam,” katanya lagi.
Dalam sidang media semalam, Wee mendedahkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah tren yang sedang diuji di landasan pada sekitar jam 8.30 malam dengan sebuah tren lain membawa 213 penumpang.
Menurut Wee, ‘kedua-dua hostler (pemandu) dan pengawal (controller) di pusat kawasalan operasi (OCC) telah mengabaikan SOP kritikal tertentu.’
“Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh.
“Pada masa sama, Tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status Manual Route Reservation (MRR) iaitu perlindungan kepada Tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara (Automatic Train Operation – ATO).
“Namun, Tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 telah diset semula kepada ATO.
“Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara Tren 40 dan Tren 81,” kata Wee dipetik Malaysiakini.
Bagaimanapun, mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menuntut lebih banyak penjelasan.
Katanya, Wee perlu memberi perincian pelanggaran prosedur itu dan kenapa pemandu dan kakitangan di OCC “mengabaikan SOP kritikal.”
Kata Loke, ahli jawatankuasa siasatan itu sepatutnya hadir bersama dalam sidang akhbar Wee untuk menjawab soalan. Bagaimanapun tiada ada seorang pun ahli jawatan kuasa berkenaan yang hadir.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32321