Keputusan Buka Sekolah Berperingkat Tepat Elak Pelajar Burn Out
 Athirah Huda Zalhe
 		 			Sudah ambil kira pandangan pakar, penting untuk kelangsungan pendidikan		  			 			BANGI – Polemik isu pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka hangat diperbincangkan kebelakangan ini.
Ada ibu bapa  yang bersetuju, tidak kurang juga ada yang membantah berikutan bimbang  jangkitan tidak didapat kawal kerana anak-anak belum divaksinasi. 
Meskipun  Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin memaklumkan pembukaan semula  sekolah secara bersemuka pada 3 Oktober dilakukan secara berperingkat,  rata-rata masih meluahkan kegusaran.
Bagi  Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee  Hasan, keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) sudah pastinya  mengambil kira pelbagai aspek, termasuk mengkaji dari sudut risiko.
Malah,  beliau berkata, keputusan itu juga dibuat berdasarkan pandangan  pakar-pakar termasuk daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis  Keselamatan Negara (MKN).
“Maka,  pilihan pembukaan itu adalah jelas keputusan yang tuntas untuk melihat  bahawa kelangsungan pendidikan adalah satu perkara penting.
“Namun,  dalam masa sama kita melihat aspek keselamatan dan kesihatan pelajar  juga tetap diberi keutamaan, termasuk tidak mengabaikan murid daripada  keciciran,” katanya dalam bual bicara Agenda Pertiwi di TV Pertiwi,  malam ini.
Beliau  percaya KPM juga mengambil kira kesan yang dihadapi oleh pelajar dan  guru dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Dan kita yakin kaedah secara bersemuka lebih berkesan dalam memberikan pembelajaran kepada anak-anak.
“Kaedah PdPR  menyebabkan pelbagai isu antaranya kelesuan murid sehingga ke peringkat  bukan hanya masalah kesihatan mental, tetapi juga ‘burn out’. Ia juga  turut memberi kesan kepada guru,” katanya.
Ustaz Mohd  Azizee berkata, keputusan pembukaan sesi persekolahan juga telah  dinyatakan jelas dibuat secara berfasa dan bukan serentak kepada seluruh  negara.
“Ini  bermakna, ia dibuat secara berperingkat dan tidak babit semua sekolah  serta pelajar. Mungkin sekolah yang diutamakan adalah di Fasa 4 PPN  seperti Labuan yang akan jadi rintis kepada pelajar kembali belajar  secara semuka.
“Ia kemudian  diikuti oleh negeri di Fasa 3 dan difahamkan hanya babit kelas  peperiksaan seperti SPM, STPM dan STAM. Sementara pelajar-pelajar lain  dan negeri Fasa 1 dan 2 kekal dengan keadah PdPR,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/keputusan-buka-sekolah-berperingkat.html