Kpm Kaji Buka Sekolah Di Negeri Fasa 4 Ppn
MALAYSIA NOW
 KPM adakan perbincangan  dengan pihak berkuasa berkaitan di Labuan bagi melaksanakan pembukaan  sekolah di negeri itu dalam keadaan yang selamat. 
Menteri Pendidikan Radzi Jidin dalam pertemuan bersama persatuan ibu bapa dan guru di Labuan.     Menteri Pendidikan Radzi  Jidin hari ini berkata pembukaan sekolah akan dijalankan mengikut fasa  Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kementeriannya sedang menjalankan  kajian dan penelitian yang mungkin menyaksikan Labuan menjadi negeri  pertama menyaksikan pembukaan sektor tersebut.
Radzi berkata langkah itu dipertimbang susulan peralihan Labuan ke  Fasa Empat di mana berdasarkan PPN, hampir keseluruhan sektor ekonomi  dan sosial secara umumnya dibenarkan beroperasi.
“Fasa Empat PPN ini menyaksikan negara membuka hampir seluruh sektor  dengan hasrat kita kembali kepada normal sebelum ini mengikut SOP-SOP  yang ketat.
  “Dan  kita lihat Labuan adalah satu-satunya negeri yang telah berada di fasa  keempat di mana hampir keseluruhan sektor telah dibuka, dan kita sedang  melihat cara terbaik bagaimana sektor pendidikan boleh dibuka dalam  keadaan selamat,” katanya pada satu sidang media di Labuan hari ini.
Menurut Radzi, pihak kementerian mengambil kira semua aspek tersebut dan pembukaan sekolah bakal di dijalankan mengikut fasa.
“Kita mahu fahami secara keseluruhannya, apakah keadaannya dan kita  Insya Allah kita akan ambil kira segala pandangan yang diberikan dalam  menyusun dan merangka pembukaan sekolah nanti.”
Dalam pada itu, Radzi juga berkata kementerian di peringkat  persekutuan bertemu dengan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan dan  pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana Labuan berkaitan cadangan  pembukaan sekolah tersebut.
“Pertemuan itu adalah untuk menjelaskan kepada mereka apakah cadangan  kami dan mendapatkan input serta pandangan daripada mereka.
“Bagi memastikan kaedah yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan  baik dan mendapat sokongan semua pihak supaya anak-anak kita dapat  kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya.
Sebelum ini, KPM mengumumkan bahawa sesi pembelajaran di rumah (PdPR)  akan diteruskan sehingga 3 Oktober 2021 depan selain turut berkata jika  terdapat keperluan untuk membuat perubahan KPM akan memaklumkan lebih  awal.
  KPM  turut berkata ketika ini pihaknya berada dalam fasa akhir bagi  mendapatkan pandangan pelbagai pihak dalam merangka pelan komprehensif  bagi ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/kpm-kaji-buka-sekolah-di-negeri-fasa-4.html