Kenapa Pelancong China Suka Kota Kinabalu
10 Sebab Kenapa pelancong China Suka Bercuti Di Kota Kinabalu | Kota Kinabalu bukanlah nama yang asing bagi mereka yang suka melancong. Kota Kinabalu atau KK lebih dikenali kerana Gunung Kinabalu yang terletak 90 kilometer dari pusat bandarnya.
Mulai tahun 2016 nama Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan menarik mula meniti di bibir jutaan pelancong-pelancong dari negara China. Tapi, kenapa?
Mulai pertengahan tahun 2015 pihak Kerajaan Negeri Sabah mulai giat mempromosikan Kota Kinabalu dan Sabah amnya sebagai destinasi pelancongan menaik buat jutaan warga China.
Dalam artikel kali ni kami merungkai 10 sebab kenapa pelancong China suka betul melancong ke Kota Kinabalu.
Semua maklumat yang kami paparkan di sini kami dapat hasil dari pemerhatian, pertanyaan terus dari pemandu-pemandu pelancong juga dari warga tempatan yang menetap di pusat bandar Kota Kinabalu. Dari mereka kami mendapat tahu bahkan sudah ramai pelancong China yang datang berkali-kali ke Kota Kinabalu semata-mata untuk bercuti.
Sebab 1: Jarak Penerbangan Pendek
Jarak penerbangan dari beberapa bandar-bandar di tanah besar China ke Kota Kinabalu hanya mengambil masa selama 3 hingga 5 jam sahaja. Sebagai contoh, tempoh penerbangan dari bandar Ningbo ke Kota Kinabalu hanya mengambil masa selama 5 jam sahaja.
Penerbangan dari Hong Kong atau Shanghai pula hanya mengambil masa 2.5 jam hingga 3 jam sahaja. Jarak penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu pula hanya mengambil masa selama 4 jam. Kalau dari Beijing ke Kota Kinabalu pula jarak perjalanan hanya memakan masa selama 6 jam sahaja tanpa perlu transit.
Ramai pelancong China suka datang ke Kota Kinabalu disebabkan oleh jarak penerbangan 'direct flight' yang singkat iaitu kurang dari 8 jam setiap kali penerbangan.
Sebab 2: Jadual Penerbangan Kerap
Ini yang bestnya. Ramai pelancong China suka ke Kota Kinabalu sebab terdapat jadual penerbangan setiap hari ke Kota Kinabalu dari bandar-bandar besar di China seperti dari Hong Kong, Shanghai, Beijing, Changsha, Chengdu, Shenzen. Paling tidak pun, ada jadual penerbangan kerap dari bandar-bandar besar di China ke Kota Kinabalu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
Jadual penerbangan setiap hari dari bandar-bandar besar di negara China mula diadakan bermula dari awal tahun 2018 sehinggalah bulan September 2018 dalam usaha Kementerian Pelancongan Kerajaan Negeri Sabah (pada masa itu dibawah pimpinan Datuk Masidi Manjun) untuk menarik lebih rama pelancongan China agar datang ke Sabah.
Sebab 3: Matawang Lebih Tinggi
Ini menjadikan pelancong China dapat ber'shopping' dan berbelanja besar ketika berada di Kota Kinabalu. Pelancong China menggunakan matawang Chinese Yuan. Ia turut dipanggil sebagai RMB. Pada masa artikel ini kami tulis (Januari 2019) kadar tukaran matawang asing bagi matawang China adalah lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia.
kedai tukaran matawang semakin banyak bila makin ramai pelancong Cina datang
Pada 9 Januari 2019, 1 Yuan menyamai 60 sen jika dalam Ringgit Malaysia. Jadi, jika mereka menukar wang dari Yuan ke Ringgit Malaysia, mereka akan mendapat nilai wang tunai yang lebih tinggi. Dengan itu, pelancong-pelancong China boleh makan besar dan boleh membayar pakej-pakej pelancongan kelas premium yang berharga tinggi.
Ini sekaligus menjadikan semuanya jadi mudah untuk pelancong-pelancong China membeli barangan, membayar makanan dalam kuantiti besar juga membeli pakej-pakej pelancongan pada harga premium mengikut selera mereka ketika mereka bercuti di Kota Kinabalu.
Sebab 4: Bahasa
Ramai pelancong China suka melancong ke Kota Kinabalu disebabkan oleh penggunaan bahasa. 80% dari penduduk yang tinggal di Kota KInabalu adalah warganegara Malaysia yang bertutur dalam bahasa Mandarin. Kebanyakan penduduk Kota Kinabalu dari suku lain seperti Kadazan dan Dusun juga turut fasih bercakap dalam bahasa Mandarin.
Kebanyakan papan tanda yang dipamerkan oleh restoran, kafe dan tempat-tempat makan lainnya turut menggunakan tulisan Cina dalam dialek Mandarin. Ini memudahkan pelancong-pelancong dari China bagi memahami nama tempat dan menu yang disediakan di situ dengan mudah.
Kebanyakan penjual gerai seafood berhampiran bulatan Todak juga pandai bercakap dalam bahasa Cina walaupun mereka berbangsa Bajau. Mereka kerap berjumpa pelancong dari China dan kerap mendengar perkataan-perkataan yang selalu dituturkan oleh pelancong-pelancong China.
Sebab 4: Durian
Pelancong China amat sukakan buah durian. Jika di negara China, buah durian kebanyakannya di import dari negara Thailand. Harga buah durian di China amat mahal jika di sana. Hanya orang kaya saja yang mampu! Oleh kerana itu mereka cuba untuk mencari buah durian di Malaysia atau di Thailand supaya mereka dapat menikmatinya dengan harga jauh lebih murah berbanding di negara sendiri.
Kota Kinabalu pula kebetulan mempunyai banyak gerai-gerai durian. Kesemua gerai-gerai tersebut menjual durian pada harga lebih kurang dari RM15 sehingga RM30 sekilo. Harga bergantung kepada gred dan berat buah durian yang dipilih. Harga durian jenama Musang King biasanya dijual dalam RM40 hingga RM60 sekilo.
Gerai-gerai durian boleh dijumpai dengan mudah di pusat bandar Kota Kinabalu juga di beberapa kawasan lain yang menjadi kawasan tumpuan pelancong misalnya di Gaya Street. Kawasan tumpuan utama gerai-gerai menjual durian segar ini adalah di kawasan Segama yang terletak lebih kurang 100 meter dari hotel Hyatt Regency Kinabalu dan hanya bersebelahan dengan Pejabat Pos Kota Kinabalu.
Kesemua gerai-gerai tersebut mula beroperasi sekitar jam 3 petang sehinggalah ke jam 12 tengah malam. Pada waktu kemuncak misalnya pada malam hujung, gerai-gerai tersebut beropasi sehingga 3 pagi. Semuanya kerana pelancong-pelancong China terus-menerus datang.
Sebab 5: Pulau-pulau Tropika
Tarikan utama Kota Kinabalu bukanlah Gunung Kinabalu tapi pulau-pulaunya yang terletak hanya 15 minit dari jeti di pusat bandar Kota Kinabalu. Kegilaan pelancong China adalah mengambil gambar di tepi pantai di pulau-pulau tersebut kemudian menayangkan gambar-gambar yang telah diambil menggunakan telefon pintar mereka itu di laman WeChat mereka (di ruang Moments) untuk dilihat oleh kawan-kawan juga ahi keluarga mereka. Setiap kali datang ke Kota Kinabalu pasti mereka akan jalan-jalan ke pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum jalan-jalan ke tempat lain.
Pulau-pulau yang menjadi tarikan utama pelancong-pelancong China adalah pulau Sapi, pulau Mamutik dan pulau Manukan. Pulau Gaya pula terkenal dengan resort eksotik bertaraf 5 bintang yang terletak di pulau itu iaitu Gayana Eco Resort dan Bunga Raya Resort. Kebanyakan pelancong China yang kaya memilih untuk tinggal di resort di pulau Gaya disebabkan pemandangan sekitar pulau yang amat cantik.
Sebab 6: Seafood Murah Dan Banyak Pilihan Pula
Setelah bersuka-ria di pulau-pulau tropika di sekitar Kota Kinabalu, aktiviti seterusnya adalah pergi ke kedai-kedai seafood untuk menikmati makan malam berlaukkan hidangan makanan laut segar dan bersaiz besar. Kebanyakan pelancong China suka berbelanja besar semata-mata untuk makan. Sudah pasti semuanya untuk show off di media sosial masing-masing. Seafood ada di mana-mana dan banyak pilihan pula!
Restoran seafood yang dibanjiri pelancong China setiap malam
Sebab 7: Hotel Berhampiran Laut
Kebanyakan hotel bertaraf 4 bintang dan 5 bintang yang ada di Kota Kinabalu kesemuanya terletak berhampiran laut. Lihat saja hotel Hyatt Regency Kinabalu. Hotel lima bintang itu terletak bersebelahan Waterfront Kota Kinabalu dan menghadap ke arah laut terbuka.
Pemandangan dari Grandis Hotel yang popular di kalangan pelancong China
Pemandangan kala senja dan kala awal pagi amat cantik dari hotel ini. Hotel lain seperti Gaya Center Hotel, Grandis Hotel, Mercure Hotel dan Promenade Hotel juga terletak berhampiran laut. Kedudukan hotel berhampiran laut membolehkan pengunjung menikmati pemandangan senja yang cantik dari kawasan pejalan kaki berhampiran hotel.
pemandangan cantik dari Grandis Hotel
Bagi yang malas nak keluar dari bilik hotel, mereka boleh menikmati pemandangan laut dari tingkap bilik hotel sahaja.
Pada saat artikel ini kami tulis, hotel terbaru di Kota Kinabalu adalah Mercure Hotel yang terletak bersebelahan jeti utama pusat bandar iaitu Jesselton Point. Hotel-hotel 3 bintang lain seperti Riverson SOHO, Jesselton Residence, Kinabalu Daya Hotel dan Capitol Hotel juga terletak sekitar 100 meter dari tepi laut iaitu berhampiran kawasan Todak Waterfront.
Sebab 8: Cuaca Tropika Dan Udara Bersih
Kota Kinabalu hanya mengalami cuaca panas dan hujan sepanjang tahun. Tidak ada cuaca 4 musim sepertimana di China. Maknanya tidak akan ada salji, tidak ada musim bunga dan tidak ada musim luruh. Hanya panas dan hujan.
Pelancong China suka ke Kota Kinabalu sekitar cuti musim luruh (sekitar bulan September hingga Oktober pada setiap tahun) bertepatan dengan musim cuti umum di negara mereka. Pelancong Korea pula paling ramai ke Kota Kinabalu sekitar bulan Ogos hingga September pada setiap tahun.
Cuaca tropika di Kota Kinabalu menjadikan pelancong China dan pelancong Korea seolah-olah dapat menikmati percutian di pantai di pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu sekitar pulau Sapi, pulau Manukan, pulau Mamutik dan pulau Gaya.
Kegilaan mereka adalah bergambar dengan macam-macam gaya di pantai kemudian memperlihatkan gambar-gambar tersebut di media sosial untuk tatapan keluarga juga rakan-rakan di China. Perkongsian tersebut menggalakkan kawan-kawan dan ahli keluarga mereka untuk turut pergi ke Kota Kinabalu bagi menikmati percutian di tempat-tempat menarik seperti mereka. Akhirnya, pelancong-pelancong yang datang ke Kota Kinabalu dari China dan Korea terus-menerus datang.
Sebab 9: Laluan Utama Untuk Ke Tempat Lain Di Sabah
Kota Kinabalu merupakan laluan utama untuk ke tempat-tempat menarik lain yang terdapat di Sabah misalnya ke Beaufort, Semporna, Ranau atau ke Sandakan. Untuk ke tempat-tempat tersebut, pelancong-pelancong China akan 'mendarat' di Kota Kinabalu terlebih dahulu. Mereka akan bercuti di Kota Kinabalu terlebih dahulu dalam sehari dua sebelum bergerak ke tempat lain bagi merasai kelainan.
Begitu juga apabila mereka hendak balik ke negara asal. Mereka biasanya akan ke Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan ke daerah asal mereka di China.
Sebab 10: Keselamatan
Pelancong dari negara China lebih suka ke Kota Kinabalu berbanding ke Semporna disebabkan oleh faktor keselamatan peribadi dan keselamatan keluarga. Daerah Semporna walaupun cantik dan mempunyai tempat menarik bertaraf dunia tapi dirasakan amat tidak selamat bagi majoriti pelancong China.
Tambahan pula kos untuk bercuti di Semporna sebenarnya adalah dua kali ganda lebih tinggi dan lebih mahal dari kos bercuti di Kota Kinabalu sahaja. Ini kerana mereka terpaksa mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau kemudian mengambil bas pelancong untuk ke Semporna yang jaraknya satu setengah jam perjalanan dari airport Tawau.
Majoriti dari pelancong China lebih suka ke Kota Kinabalu kerana mereka selesa berjalan-jalan di pusat bandar pada waktu malam kala penjual-penjual durian dan kedai-kedai makanan laut banyak di buka.
Itulah dia 10 sebab-sebab kenapa ramai pelancong China suka bercuti di Kota Kinabalu. Bagi saya yang menetap di Kota Kinabalu ni kalau ke pusat bandar pasti akan boleh nampak betapa ramainya pelancong China berjalan-jalan di pusat bandar.
Ramai di kalangan pelancong China yang datang ke Kota Kinabalu sebenarnya sudah datang lebih dari sekali. Mereka datang lagi kerana merindui suasana menyeronokkan dan menyamankan yang ada di Kota Kinabalu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bki12.blogspot.com/2019/01/10-sebab-pelancong-china-kota-kinabalu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogTempatMenarikDiSabah+%28Tempat+Menarik+Di+Sabah%29