Kenapa Malaysia Jadi Pilihan Pelacur
KUALA LUMPUR - Bayaran lumayan menjadi pendorong ribuan wanita warga asing menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan menjalankan aktiviti persundalan.
Difahamkan permintaan tinggi turut menjadi faktor bayaran perkhidmatan seks yang ditawarkan kepada lelaki hidung belang di negara ini melambung.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita warga asing itu boleh mendapat tips antara RM300 hingga RM500 untuk satu malam sahaja dan anggaran kasar mereka mampu peroleh RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Ia merupakan harga biasa ditawarkan dan mengikut paras rupa. Mereka yang muda dan menawan akan dibayar mahal berbanding wanita berusia,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian.
Menurut Khairul Dzaimee, sindiket pelacuran ini turut mempunyai kelas tersendiri.
“Berdasarkan temu bual dan siasatan yang dijalankan, bagi kelas A, wanita itu dibayar RM700 hingga RM800 hanya untuk semalam.
“Malah kadar itu akan meningkat kalau ada permintaan yang tinggi. Anggaran kasar mereka boleh peroleh antara RM12,000 hingga RM15,000 sebulan,” katanya.
Tegasnya, adalah sesuatu yang dangkal sekiranya wanita warga asing itu mendakwa dieksploitasi kerana pendapatan yang mereka peroleh amat tinggi.
“Siasatan yang kita jalankan, tiada unsur kesemua wanita warga asing yang terlibat dalam aktiviti pelacuran itu dikurung. Mereka terima habuan yang lumayan, tiada sekatan,” katanya.
Jelasnya, sindiket pelacuran di negara ini lebih bersifat setempat dan bukannya rangkaian antarabangsa.
“Ia dibuktikan menerusi jumlah operasi yang kita jalankan.
“Sehingga 5 Ogos lalu, sebanyak 39 operasi dijalankan di rumah urut serta premis hiburan dengan tangkapan seramai 89 individu warga asing dan 12 majikan.
“Bagi serbuan pada tahun 2020, sebanyak 253 operasi dijalankan di rumah urut dan premis hiburan dengan tangkapan seramai 1,197 warga asing dan 73 majikan,” katanya.
WARGA CHINA PALING RAMAI
Wanita Asia terutama dari China mendahului senarai tertinggi yang ditahan terlibat dalam aktiviti pelacuran.
“Disusuli Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina disebabkan faktor pelanggan khususnya warga tempatan.
“Turut terdapat sebilangan kecil wanita warga asing dari Bangladesh, namun mereka ini dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan senegara mereka sahaja,” katanya.
KESAN KEGIATAN PELACURAN
Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai kaedah tersendiri mengesan kegiatan pelacuran di kalangan warga asing yang masuk ke negara ini.
Khairul Dzaimee berkata, warga asing yang terlibat dalam sindiket pelacuran ini kebanyakannya masuk secara sah dengan menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelancong.
“Menerusi pas pelancong, kebenaran untuk mereka berada di negara ini selama 30 hari dan dalam tempoh itu mereka mengambil kesempatan menawarkan kegiatan seks.
“Siasatan juga mendapati, warga asing yang terlibat kegiatan pelacuran ini masuk melalui mana-mana pintu masuk negara sama ada di lapangan terbang atau terminal laut dengan syarat yang mencukupi.
“Imigresen akan semak segala aspek termasuk dokumen perjalanan. Kita juga akan periksa tempat tinggal mereka sepanjang mereka berada di negara ini termasuk adakah wang yang ada pada mereka mencukupi atau tidak,” katanya.
Tegasnya, mereka yang menawarkan perkhidmatan seks atau bekerja sebagai tukang urut sering kembali ke negara asal dalam tempoh dua bulan.
“Selepas itu, akan masuk semula sebagai pelancong dan dari pemerhatian kami, kegiatan ini berlarutan sehingga mereka ditangkap dalam mana-mana operasi yang dijalankan,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, terdapat segelintir wanita warga asing ditahan akan mendakwa menjadi mangsa diperdagangkan, namun ia sukar dibuktikan.
“Mereka ini bergerak bebas dan tidak dikurung, mereka bebas keluar masuk tempat mereka menjalankan aktiviti.
“Kita percaya ada pihak yang urus mereka, mungkin dari segi bayaran, makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya. Hendak mengatakan mereka jadi mangsa itu sukar dibuktikan,” katanya.
Beliau berkata, ada juga yang memberi alasan sekadar berhibur atau menemani kawan.
Khairul Dzaimee berkata, pelbagai usaha yang digunakan sindiket untuk menggagal atau melambatkan operasi yang dijalankan.
“Antara yang kita kesan terdapat premis yang menyediakan laluan dan bilik rahsia bagi melindungi wanita warga asing ketika operasi dilaksanakan.
“Selain itu, ada juga pemilik premis yang cuba melengahkan operasi untuk memberi peluang wanita warga asing yang terlibat dalam aktiviti pelacuran ini melarikan diri,” katanya.
Sekiranya warga asing yang ditahan terlibat dalam aktiviti pelacuran, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 16(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b), peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini.
Wanita warga asing terlibat kegiatan pelacuran dikesan menggunakan pas pelancong atau pas lawatan sosial.
Faktor penggunaan wanita warga asing di pusat hiburan/rumah urut bagi menarik pelanggan warga tempatan.
Laporan dipetik dari SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/09/kenapa-malaysia-jadi-pilihan-pelacur.html