Kemeriahan Aidilfitri Jangan Lupa Fakir Miskin
Ketika menyambut kemeriahan Aidilfitri, jangan pula melupai nasib golongan fakir dan miskin, atau mereka yang tidak mempunyai tempat menumpang kasih seperti anak yatim, mualaf dan perantau. Golongan ini juga ingin menikmati kemeriahan sepertimana orang lain.
Utamakan juga kunjungan melawat mereka yang terlantar sakit sama ada di hospital maupun di rumah. Mereka ini sudah tentu amat mengharapkan kunjungan orang lain memandangkan dia sendiri tidak mampu untuk berkunjung ke tempat lain.
Kunjungan ke rumah golongan miskin elok dibawa bersama-sama kuih muih untuk mereka, selain sumbangan lain seperti barang keperluan harian dan wang.
Semua Muslim adalah bersaudara yang perlu dihubungkan dengan silaturahim dan berkasih sayang. Tidak ada individu Muslim yang dianggap hidup sebatang kara di dunia ini. Kegembiraan menyambut Aidilfitri dikongsi dengan seluruh umat Islam tanpa mengira kedudukan, kekayaan, asal keturunan maupun usia.
Bagi golongan fakir dan miskin, tidak ada yang lebih bermakna dan mengembirakan jika ada orang yang sudi menghulurkan sedekah berupa wang atau barang keperluan ketika sambutan hari penuh kegembiraan ini.
Bantuan yang diterima sudah tentu dapat menceriakan sambutan dan membantu meringankan beban hidup yang dialami selama ini. Banyak orang merasakan sambutan Aidilfitri tidak membawa apa-apa erti memandangkan keadaan yang dilalui tidak berbeza berbanding hari-hari biasa.
Antara suruhan Rasulullah ialah bagi yang mampu hendaklah mengkayakan golongan fakir dan miskin pada hari Aidilfitri.
Mengkayakan di sini bermaksud memenuhi keperluan golongan itu dari segi makanan, minuman dan pakaian yang lebih baik daripada biasa. Golongan fakir dan miskin menjadi kaya pada Aidilfitri atas sikap kemurahan golongan yang mampu.
Pada hari raya, golongan kaya berkongsi kegembiraan dengan golongan fakir dan miskin. Sesungguhnya kasih sayang adalah antara tanda kesempurnaan iman.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/06/vii.html