Kemenangan Pasukan Menjadi Keutamaan Kipre Tchetche
KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC) Kipre Tchetche melaungkan keyakinan mahu terus 'mengganas' apabila pasukannya berdepan Negeri Sembilan pada aksi pusingan kedua peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Pada aksi pusingan pertama Sabtu lalu, pemain kelahiran Ivory Coast yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu dengan sembilan gol muncul watak pemusnah selepas mencipta jaringan hatrik menumpaskan skuad Hobin Jang Hobin 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
"Kami bawa semangat yang membara dari Terengganu untuk menang dalam perlawanan ini. Itu matlamat utama kami selepas menumpaskan pasukan Negeri Sembilan pada aksi pusingan pertama di tempat sendiri,” kata Tchetche.
“Saya begitu gembira dapat menjaringkan tiga gol, saya mahu mengulanginya di tempat lawan tetapi apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan menjadi keutamaan kami, siapa yang jaringkan gol itu tidak begitu penting.
“Jadi kami perlu memberikan tumpuan 100 peratus untuk menang bagi mengukuhkan kedudukan selepas mengutip sembilan mata setakat ini, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.”
Berdasarkan senarai penjaring setakat ini, Tchecthe kini mendahului dengan mengumpul lima gol termasuk dua jaringan ketika skuadnya menumpaskan Kedah 2-0 pada aksi kedua.
Sementara itu, pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain menuntut pemain itu mengulangi aksi cemerlangnya bertemu skuad Negeri Sembilan bagi memastikan TFC mampu melangkah lebih awal ke peringkat suku akhir.
“Saya gembira dengan persembahan pemain itu, impaknya cukup besar kepada pasukan selain pemain yang penting, saya harap dia dan pemain lain yang diturunkan nanti mampu mengulangi aksi terbaik mereka,” kata Nafuzi. - Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/08/memenangan-pasukan-menjadi-keutamaan.html