Kembali Menjejak Bumi Guangzhou
[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]
BATIK AIR Kami ke Guangzhou dengan menaiki pesawat Batik Air di KLIA, Terminal 1 yang berlepas pada hari Sabtu, 21 September 2024 kira-kira pukul 10 malam
Semuanya berjalan lancar, kecuali satu hal - tempat duduk no. 8A (tepi tingkap) yang Encik Suami pilih semasa online check-in rupa-rupanya tiada tingkap 😂. Pertama kali kami terkena begini, memang terkejut bercampur rasa lucu. Mujur juga penerbangan waktu malam, memang saya tidur je sepanjang perjalanan. Sesekali saya terjaga bila ada pengumuman berkenaan keadaan cuaca buruk di luar
LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA GUANGZHOU BAIYUNPenerbangan dari Kuala Lumpur (KUL) ke Guangzhou (CAN) mengambil masa 4 jam. Alhamdulillah pesawat yang kami naiki selamat mendarat di bumi Guangzhou pada pukul 2 pagi (waktu tempatan sama dengan waktu Malaysia)
Berbeza dengan kunjungan kami 9 tahun lalu, kali ini kami perlu melalui pemeriksaan suhu badan secara elektronik. Tertera arahan supaya kita berjalan perlahan dan membuka topi sewaktu melalui tempat pemeriksaan suhu badan
Juga perlu imbas sepuluh jari di sini - empat jari kanan, empat jari kiri dan kedua-dua belah ibu jari
Pukul 2.22 pagi.Selepas itu, ambil dan isi arrival card. Antara yang perlu dinyatakan - tempat penginapan, tarikh balik dan nombor penerbangan. Dah siap semua, barulah masuk barisan untuk urusan imigresen
Pegawai imigresen seorang lelaki memulakan pertanyaan dalam bahasa Cina. Beliau kemudiannya menyoal dalam bahasa Inggeris, tentunya setelah melihat reaksi muka saya yang tak memahami pertuturannya tadi
“Can you speak Chinese?”Dan diikuti dengan soalan-soalan lain
Tujuan datang
Pernah datang ke China sebelum ini
Nak ke bandar mana
Datang dengan siapa
Mana satu orangnya
Selesai bersoal jawab dan membelek helaian muka surat pasport, barulah pasport saya dicop. Encik Suami pula berurusan dengan seorang pegawai perempuan, sekejap je siap sebab tak ada soal jawab
NAIK TEKSI KE HOTEL PENGINAPANKalau dulu (sewaktu kali pertama ke Guangzhou), kami tidur di lapangan terbang sementara menunggu hari siang - baca kisahnya DI SINI. Kali ini Alhamdulillah ada kemampuan, kami ambil teksi untuk ke hotel penginapan
Dalam bangunan lapangan terbang ni ada ‘ulat’ teksi yang mendekati kami, skrin telefon dengan paparan translation bahasa Cina dan Inggeris digunakan sebagai cara berkomunikasi. Kami ditanya nak ke hotel mana? Dari Malaysia
Pukul 3.05 pagi.Kami menuju ke pintu A9, tempat menaiki teksi secara sah. Ada dua orang lelaki muda (mungkin petugas lapangan terbang) yang membantu di sini. Mereka boleh berbahasa Inggeris, urusan jadi lebih mudah. Cuma masalahnya, nama hotel penginapan kami tiada dalam carian aplikasi mereka
Untuk info - China mengenakan sekatan ke atas Google. China ada aplikasi sendiri yang sama seperti Google Maps. Kami aktifkan data roaming, jadinya masih boleh guna aplikasi Google. Tapi hasilnya sama juga - tiada nama hotel tersebut di Google Maps.
Penyelesaiannya - teksi akan bawa kami ikut alamat (nama jalan) hotel. Sampai sana nanti kenalah mencari lagi
Notis peringatan - bayar ikut meter sahaja. Petugas maklumkan laluan kami ikut tol, jadinya nanti akan ada tambahan bayaran ikut kadar tol
Pukul 3.20 pagi, masih banyak kenderaan di jalan raya
Caj dikenakan (perbualan bahagian atas tu bukan dengan kami).Ringkas cerita, pada pukul 4.05 pagi akhirnya jumpa juga hotel penginapan kami dengan cara merujuk foto bangunan hotel. Alhamdulillah, lega sungguh!
Pemandu teksi keluarkan kalkulator, tekan-tekan dan tunjuk jumlah 361. Kemudian dihulurkan skrin telefon, tertera tambang 226 + tol 55 + caj waktu malam 80. Tak larat nak bersoal jawab, Encik Suami bayar je jumlah yang diminta iaitu 361 yuan.
Sebelum beredar, kami minta resit. Tapi resit ni cuma ada paparan caj ikut meter, tak termasuk caj tol dan caj waktu malam. Kami rasa agak mahal caj tambahan yang dikenakan. Tapi sebab kami pun tak tahu berkenaan caj yang sepatutnya dan dengan masalah mencari hotel yang tiada dalam carian, maka kena terima sajalah caj yang dikenakan. Paling penting, kami dapat sampai ke hotel penginapan dengan selamat
Alhamdulillah…dapat pula bilik penginapan yang sangat selesa, bolehlah kami layan mata yang mengantuk dan badan yang keletihan. Kena ada tenaga sebab waktu siang nanti kami nak jalan-jalan
Setelah hampir 9 tahun berlalu, kami kembali menjejak bumi Guangzhou
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2024/10/kembali-menjejak-bumi-guangzhou.html