Keliru Sop Kebumi Jenazah Mangsa Covid 19 Jabatan Kesihatan Kelantan Mohon Maaf
Gambar yang tular di FB menunjukkan waris mangsa Covid-19 dan penduduk kampung memakai pakaian perlindungan tanpa nasihat daripada KKM. PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Kelantan membuat permohonan maaf susulan kejadian salah faham membabitkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengkebumian jenazah mangsa Covid-19 di Kelantan, Ahad lalu
Pengarahnya, Dr Izani Hussin berkata isu itu timbul apabila berlaku kekeliruan antara pihak Jabatan Kesihatan Kelantan dengan waris mangsa
“Pihak JKN Kelantan menyesali dan memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku. Bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengurusan jenazah Covid-19, pihak JKN Kelantan akan terus membuat penambahbaikan dan meningkatkan tahap pemahaman masyarakat dan pihak berwajib berkaitan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan
Tambah Izani, proses pengebumian perlu dipantau pihak anggota kesihatan dan ia tidak dilakukan jabatan itu
“Segala aktiviti semasa proses pengkebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan anggota kesihatan. Garis panduan itu bagaimanapun tidak dinyatakan proses pengkebumian perlu dilakukan oleh anggota kesihatan,” katanya
Beliau berkata antara garis panduan yang ditetapkan pihak Kementetian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah semua jenazah yang disyaki Covid-19, disyorkan untuk dilakukan pengkebumian atau pembakaran mayat oleh pihak yang menuntut (waris) dengan segera, iaitu sebaik-baiknya pada hari yang sama dengan pemeriksaan dilakukan
“Selain itu mencuci mayat tidak disyorkan. Bagaimanapun bagi jenazah Muslim, proses persediaan jenazah seperti memandi dan mengapankan mesti dilakukan di dalam bilik postmortem khas oleh kakitangan perubatan setelah selesai pemeriksaan fizikal
“Penyerahan mayat kepada pihak yang menuntut perlu dilakukan dengan langkah berjaga-jaga yang ketat di bawah pengawasan inspektor kesihatan
“Ahli keluarga dilarang daripada membuka ‘bodybag’ yang dimeteraikan dan inspektor kesihatan perlu memastikan langkah berjaga-jaga ini dipatuhi dengan tegas,” katanya
Sebelum ini tular di media sosial waris mangsa Covid-19 ke-8 mendakwa, berlaku kecelaruan SOP yang mana mereka diminta oleh pegawai KKM Pasir Mas untuk menguruskan sendiri pengebumian jenazah bapanya, Hassan Abdul Wahab
Mohd Hafizudin Hassan yang juga anak mangsa mendakwa, pegawai KKM memberitahu mereka hanya ditugaskan untuk memantau dan tidak terlibat dengan urusan pengebumian jenazah
Perkara itu menurut Hafizudin, adalah bercanggah dengan taklimat yang diberitahu kepadanya oleh pihak hospital bahawa KKM yang akan menguruskan semua urusan pengebumian jenazah mengikut cara wabak Ebola
Selain itu katanya, dia juga diberitahu bahawa waris juga tidak boleh berada dekat tanah perkuburan dan tidak dibenarkan melihat jenazah
Bagaimanapun, disebabkan keengganan pegawai KKM terbabit, urusan pengebumian malam itu diuruskan oleh 5 individu termasuk dia bersama seorang adik lelaki dan dibantu 3 penduduk kampung, yang mana semua mereka langsung tidak mempunyai kepakaran
“Jika benarlah waris yang kena uruskan, apa salahnya beritahu maklumat lebih awal supaya kami dapat bersedia uruskan,” katanya menerusi kenyataan yang tular di Facebook
Susulan kecelaruan berkenaan, Hafizudin tampil menuntut penjelasan mengenai SOP cara pengurusan jenazah mangsa Covid-19 kerana tidak mahu perkara yang sama berulang ke atas jenazah yang lain. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2020/03/keliru-sop-kebumi-jenazah-mangsa-covid.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+M