Heroin Ant Man Minta Maaf Perkecil Covid 19
MALAYSIAKINI    Pelakon Ant Man,  Evangeline Lilly memohon maaf secara terbuka selepas mencetuskan  kontroversi kerana enggan mengambil langkah mengasingkan diri atau  kuarantin ketika penularan wabak Covid-19.
Evangeline sebelum ini  mencetus kontroversi kerana mengumumkan dia dan dua anaknya yang masih  kecil tetap akan meneruskan rutin harian seperti biasa walaupun  dikenakan perintah berkurung.
"Saya ingin memohon maaf dengan  ikhlas kerana sikap tidak peka ditunjukkan terhadap penderitaan dan  kebimbangan yang mencengkam dunia disebabkan Covid-19.
"Dunia  sedang bergelut untuk mencari penawar bagi menghentikan ancaman ni, dan  sikap membisu saya ibarat mesej acuh tak acuh dan bongkak," katanya di  Instagram beberapa jam lalu.
Bintang drama bersiri Lost itu malah mendakwa dia sebenarnya kuarantin diri sejak 18 Mac lalu.
Pada  16 Mac lalu, Evangeline, 40, mengundang perhatian umum apabila dia  memperkecilkan wabak pandemik Covid-19 sebagai demam selesema atau  mungkin langkah politik.
Bagaimanapun, Evangeline mendakwa dia dan keluarganya sudah mempraktikkan penjarakan sosial sejak 18 Mac lalu.
"Dua hari kemudian (selepas memuat naik kenyataan kontroversi), pandangan saya berubah.
"Walaupun  terdapat keraguan terhadap kesan sosio ekonomi dan politik daripada  tindakan ni, tolong ambil maklum bahawa saya jalankan juga tanggungjawab  untuk memutuskan rantai wabak, amalkan penjarakan sosial dengan duduk  di rumah bersama keluarga," katanya.
Pelakon Marvel itu juga  menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk melukakan perasaan sesiapa  yang terjejas akibat wabak tersebut melalui hantarannya yang  kontroversi.
"Apabila saya menulis kenyataan itu 10 hari lalu, saya ingat dapat menenangkan diri ketika berdepan situasi panik.
"Namun,  akhirnya sekarang sedar saya cuma menambah ketakutan diri sendiri dalam  situasi yang sememangnya sudah traumatik," katanya.
Sepertimana  orang lain yang bergelut dengan kesan Covid-19, Evangeline berkata, dia  juga berasa bimbang terhadap komuniti yang bergantung hidup pada  perniagaan atau pendapatan kecil.
"Saya berasa sedih kerana kita  kehilangan nyawa yang berterusan, dan petugas perubatan perlu mengambil  risiko untuk merawat mereka yang dijangkiti.
"Saya juga cuba ikut saranan bagaimana untuk membantu pada waktu-waktu ini," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/heroin-ant-man-minta-maaf-perkecil.html