Kelebihan Bekerja Sendiri Yang Orang Lain Tak Mungkin Akan Dapat Rasai
Kerja sendiri bukannya untuk orang yang pemalas.
Satu kefahaman yang SILAP adalah apabila ada yang mengatakan orang yang bekerja sendiri ini adalah orang yang malas nak cari kerja. Sebenarnya bukan seperti itu.
Saya selalu perhatikan iklan-iklan kerja kosong yang terdapat di laman web carian kerja Maukerja.my. Walaupun disitu ada banyak kerja kosong dengan gaji yang lumayan, namun saya dapati tak ada satu pun yang menarik perhatian saya.
Jadi, apabila berada dalam situasi saya ini, daripada pening-pening kepala nak apply kerja yang memang tak berapa sesuai dengan diri saya, adalah lebih baik saya cipta sendiri peluang kerja tersebut. Memandangkan kerja yang saya nak buat dan yang saya suka itu nampaknya tak wujud, atau tiada kekosongan, lebih baik saya kerja sendiri.
Saya suka menulis. Nak cari kerja yang membolehkan saya fokus dengan kerja-kerja menulis sahaja, nampaknya agak sukar. Selain menulis, saya juga suka jalan-jalan, pergi bercuti dan menjelajah tempat orang.
Kemudian saya suka menulis tentang pengalaman perjalanan saya dan serba sedikit kisah yang saya boleh pelajari hasil daripada sesuatu perjalanan yang saya lalui.
Kalau dilihat sekali imbas, kerja yang sesuai untuk saya, nampaknya macam kerja sebagai wartawan. Cuma, saya tak berapa berkenan pula nak bekerja sebagai wartawan, dan terikat dengan disiplin kewartawanan yang ketat.
Lagi satu, saya tak mempunyai latihan yang formal dalam bidang kewartawanan. Dekat situ nampaknya saya memang tak layak nak apply kerja sebagai wartawan.
Bercakap mengenai kerja sebagai wartawan, saya temui satu peluang kerja sebagai wartawan di laman web maukerja.my
Jika anda memerlukan atau minat dengan kerja tersebut boleh cuba memohon melalui pautan yang telahpun saya kongsikan diatas.
Kawalan penuh terhadap kehidupan
Adakah hidup kita ini semata-mata untuk kerja? Kita kerja setiap hari, sebenarnya untuk siapa? Memanglah kerja itu suatu ibadah, apabila ia dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah dan untuk mencari rezeki yang halal.
Tapi kalau kerja tersebut dibuat dalam keadaan terpaksa, kerja bercampur dengan perkara-perkara yang dilarang dalam agama, ada ketikanya terlepas dan terlalai melakukan suruhan yang wajib, adakah kita masih lagi nak kata kerja kita tu suatu ibadat? Wallahua’lam.
Bila kita bekerja sendiri ini, kita sendiri yang tetapkan hampir segala-galanya. Setakat mana kerja yang kita nak buat, bila kita nak bekerja, masa bila kita nak ambil cuti dan sebagainya.
Kita tak terlalu terikat dengan manusia lain yang ada disekeliling kita, dan cukuplah kita mendapatkan keredhaan dari Allah. Itu yang lebih utama.
Sesuai untuk orang yang kreatif
Orang yang kreatif itu bagaimana sifatnya?
Orang yang kreatif selalunya suka mencipta dan menghasilkan sesuatu. Kerja-kerja yang berbentuk rutin, ada sistem kerja yang rigid, dan terikat dengan cara kerja yang sama adakalanya sangat membosankan.
Orang kreatif perlu suasana kerja yang mampu untuk merangsang kreativiti, menjadikan dirinya lebih unik dan mampu untuk hasilkan karya yang lain daripada yang lain.
Tak banyak peluang kerja yang mampu untuk berikan orang kreatif kebebasan untuk menjadi dirinya sendiri. Itu sebabnya, lebih baik cipta sendiri peluang kerja, dan kerja sendiri.
Anda tentukan masa kerja anda
Kerja sendiri ni sebenarnya simple je. Kalau rasa nak kerja, kerja. Tapi kalau pada masa tersebut rasa macam tak nak buat kerja, anda tak perlu paksa diri.
Dari pengalaman saya sendiri memang akan ada hari-hari tertentu yang mana kita rasa tak produktif. Buat kerja apa pun rasa serba tak kena.
Kalau kita kerja dengan orang, nak tak nak memang kita kena siapkan juga kerja tersebut. Tetapi apabila kita bekerja sendiri, kita boleh adjust masa kerja kita mengikut masa yang sesuai dengan keadaan kita.
Tiada drama dan politik tempat kerja
Kalau nama pun bekerja sendiri, lazimnya memang kita akan bekerja seorang diri. Tak ada kawan sekerja ni kadang-kadang memang akan buatkan kita rasa sunyi, tapi ia bukanlah sesuatu yang tak baik.
Setidak-tidaknya bila tak ada rakan sekerja, masa kita boleh difokuskan sepenuhnya untuk buat kerja dan tak perlu sibuk-sibuk nak terlibat dengan politik pejabat.
Bekerja dengan individu atau syarikat yang anda suka
Kita boleh pilih sama ada nak bekerja dengan individu atau syarikat yang bagaimana. Kita sendiri yang akan tapis, pelanggan atau klien yang bagaimana yang kita nak berurusan.
Agak-agak kalau rasa lain macam, rasa tak berapa berkenan, boleh sahaja kata yang kita tak dapat nak terima tempahan atau berikan perkhidmatan buat masa ini atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.
Nanti pandai-pandailah dia cari orang lain untuk selesaikan masalah dia.
Tak perlu pening-pening tentang baju uniform dan tatacara pakaian
Kalau nak buat kerja sambil pakai seluar pendek sahaja pun tak ada masalah.
Pengalaman melalui pelbagai jenis gaya hidup
Ada perkara yang memang menjadi satu rutin kerja, dan ada banyak juga perkara yang bukan rutin. Setiap hari adalah satu pengalaman yang baru.
Kita boleh buat macam-macam plan, tapi belum tentu hidup kita akan ikut plan yang telah kita buat. Tapi ini bukanlah bermakna kita tak payah nak buat plan langsung.
Bantu orang lain
Hari ni aku nak bantu siapa?
Ini peluang yang jarang diperolehi oleh mereka-mereka yang bekerja dengan majikan. Orang yang kerja dengan majikan, lazimnya dia hanya berkhidmat untuk satu individu atau satu entiti sahaja.
Kalau dia kerja dengan syarikat A, maknanya hari ini dan hari-hari seterusnya dia perlu fokus untuk bantu syarikat tersebut sahaja. Walaupun saya berkata begitu, saya tidaklah menolak kebarangkalian yang mana hasil kerja yang dilakukan turut mempunyai impak positif terhadap orang lain.
Kembali kepada point dapat bantu orang lain. Apa yang saya cuba sampaikan dan nak bagi anda nampak ialah, orang yang bekerja sendiri ini dapat bantu orang lain dengan beberapa cara, antaranya
Disebabkan dia tak pilih untuk minta kerja dengan orang lain, kerja tersebut boleh diambil oleh orang lain yang mungkin lebih memerlukan dan tak pandai nak usaha sendiri melainkan kerja dengan orang.
Kalau dia kerja sebagai marketer seperti yang saya lakukan, dia boleh bantu mana-mana usahawan diluar sana untuk dapatkan pelanggan, dengan cara menulis tentang perniagaan yang dilakukan oleh usahawan tersebut.
Boleh bantu cipta peluang pekerjaan kepada orang lain, apabila perusahaan yang dijalankan makin bertambah besar
Jadi bos untuk diri anda sendiri
Ada tak yang bercita-cita nak jadi bos? Kalau nak tunggu kenaikkan pangkat dekat tempat kerja, mungkin peluang tu agak suram. Tapi kalau anda buat company sendiri, anda jalankan perniagaan sendiri, masa tu juga anda adalah seorang bos.
Andalah bos, anda juga adalah seorang kuli. Nak jadi bos yang baik, kenalah jadi kuli yang baik. Boleh jadi pada masa ini, anda akan nampak yang rupa-rupanya bukan senang nak jadi bos.
Baca juga: Jadi BOSS untuk diri anda sendiri – Apa pandangan anda?
Buat apa yang anda rasa semangat nak buat
Follow your passion.
Anda rasa seronok bila buat kek dan nak orang lain turut sama seronok menikmati kek yang anda hasilkan. Maka, buatlah kerja-kerja membuat dan jual kek hasil tangan anda sendiri.
Anda suka menghasilkan android apps… buatlah kerja tersebut. Asalkan kerja tersebut memang satu benda yang memang buat anda jadi sangat seronok dan bersemangat nak buat. Buat la.
Itu kelebihan yang boleh kita perolehi apabila bekerja sendiri. Kita buat kerja yang memang kita nak dan yang kita betul-betul rasa semangat nak buat.
Kita bekerja bukan semata-mata sebab nak duit sahaja, tetapi sebab kita memang sukakan kerja tersebut. Sambil kita buat perkara yang kita suka, kita dapat duit pula tu.
Simpan semua ganjaran untuk diri anda sendiri
Saya rasa ini bahagian yang paling saya suka.
Kalau kita dapat satu projek, dan projek tu nilainya besar, kesemua tu akan jadi milik kita.
Berbeza dengan bekerja dengan orang. Kita dapatkan projek bernilai besar, tapi bahagian kita adalah duit gaji sahaja… dan mungkin sedikit elaun sebab kerja lebih masa. Itu sahaja.
Kadang-kadang bila difikirkan, memang ada rasa tak puas hati, tapi nak buat macam mana, memang itulah resmi apabila kerja dengan majikan.
Tapi dalam hidup ini, kita ada pilihan. Kalau tak suka dengan pilihan sedia ada, buat kerja lain. Kerja sendiri ini juga adalah satu pilihan.
Tak semua orang akan berjaya bila bekerja sendiri. Namun, apa salahnya kalau kita mencuba?
The post Kelebihan bekerja sendiri yang orang lain tak mungkin akan dapat rasai appeared first on Sabree Hussin Dot Biz.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sabreehussin.biz/kelebihan-bekerja-sendiri/