Kalau Mahu Terus Berdebat Bertandinglah Sendirian Kata Pemuda Pas
Oleh SITI NUR ZAWANI MISCONAugust 21, 2020
Dewan Pemuda Pas Malaysia mempersilakan semua komponen parti Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding secara bersendirian di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya masing-masing berkeras untuk terus berdebat secara terbuka dan tidak mahu berbincang melalui meja rundingan.
Ia susulan kenyataan Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi dalam kenyataannya semalam yang terus membangkitkan rasa tidak senang terhadap penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shari berkata, semua pihak perlu menghentikan segala pertembungan dalaman yang boleh mengganggu gugat sokongan terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda Pas mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan.
“Semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian di dalam pilihanraya umum yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 19 Ogos, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi menyenaraikan lima kemarahan akar umbi parti mereka terutama membabitkan pengkhianatan anggota parlimen Bersatu dalam pilihan raya lalu, yang memenangi kerusi atas tiket BN.
Dakwa Asyraf juga, kedudukan Bersatu kini yang dilihat sudah berpecah kepada dua kumpulan mencetuskan persepsi bahawa parti itu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding menumpukan agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.
Sementara itu, Ahmad Fahdli memberi amaran agar selepas ini tidak perlu lagi melakukan perdebatan terbuka yang hanya menambah tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.
“Pemuda Pas menyeru semua pimpinan parti di dalam kerajaan, bawalah pandangan ke meja rundingan, tidak perlu berdebat secara terbuka yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat.
“Kputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi juga mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukannya hanya bersifat kepentingan peribadi,” katanya lagi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/08/kalau-mahu-terus-berdebat-bertandinglah.html