Kalau Dah Nak Bodek Pun Tak Reti Baiklah Semua Berhenti
Sejak semalam, tersebar luas di media sosial sekeping gambar tentang Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin yang dikesan tidak memakai pelitup mula ketika berada di sebuah hotel di Johor Bahru.
Gambar yang dipercayai dirakam pada 31 Mac itu menunjukkan ramai orang di sekelilingnya, tetapi semua mereka didapati memakai pelitup muka.
Hanya Mahiaddin seorang yang tidak memakai pelitup mukanya.
Dengan itu, beliau dianggap telah melanggar SOP Covid19 dan patut didenda sehingga RM10 ribu.
Walaupun Mahiaddin telah menerima dua dos suntikan vaksin, beliau sebenarnya masih perlu memakai pelitup muka.
Pihak berkuasa, antaranya melalui kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Imunisasi Kebangsaan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, bertegas tentang keperluan memakai pelitup muka itu.
Kata KJ, semua individu yang sudah menerima suntikan vaksin tetap diperlukan mengamalkan semua kaedah pencegahan, termasuk memakai pelitup muka ketika berada di khalayak ramai.
Dr. Noor Hisham pula berkata, meskipun sudah disuntik vaksin, seseorang itu masih perlu mematuhi SOP Covid19.
Berdasarkan hakikat itu, ramai yang mahu Mahiaddin disiasat dan diseterusnya diambil tindakan kerana melanggar SOP itu.
Antara yang terawal menyoal adakah Mahiaddin akan disiasat dan diambil tindakan kerana melanggar SOP itu adalah bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Bahkan, Najib juga bertanya sama ada Mahiaddin telah mengimbas MySejahtera ketika tiba di hotel tersebut.
Turut menyoal sama ada Mahiaddin akan disiasat dan didenda atau dilepaskan begitu saja ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau turut membandingkan dengan kes seorang rakyat biasa di Perak yang baru-baru ini didenda RM10 ribu hanya kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul.
“Adakah tindakan dan kompaun serupa akan dikenakan terhadap Mahiaddin juga kerana gagal memakai pelitup muka?,” tanya Guan Eng.
Selain Najib dan Guan Eng, ramai netizen juga membangkitkan perkara yang sama.
Mereka mempertikaikan jika amalan dua darjat berulang lagi berikutan kesalahan nyata yang dilakukan Mahiaddin itu.
Apatah kagi sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob telah tampil memberi jaminan bahawa tiada sesiapa, baik VIP atau selebriti, terkecuali daripada tindakan jika didapati melanggar SOP.
Soalnya, mengapa sehingga sekarang tidak ada mana-mana pihak daripada kerajaan yang bersuara berkaitan pelanggaran SOP Mahiaddin itu?
Baik Ismail Sabri, KJ, Dr. Adham Baba atau Dr. Noor Hisham, mengapa semuanya diam membisu?
Kalau tiada tindakan atau siasatan dilakukan, kenapa tidak ada yang tampil bercakap membela dan mempertahankan Mahiaddin?
Bukankah Mahiaddin adalah Perdana Menteri yang dengan kedudukan itu beliau sebenarnya perlu dibela, dipertahan, disokong dan dibodek oleh para menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan, tak kira apa kesalahan pun dilakukannya?
Takkan Mahiaddin mahu dibiarkan begitu saja dipersoalkan kelakuannya oleh Najib, Guan Eng dan juga netizen?
Jika bodek pun dah tak reti, baiklah semua menteri yang berkaitan Covid19 dan Ketua Pengarah Kesihatan, letak jawatan dan berhenti daripada jawatan masing-masing dengan segera?
(Shahbudindotcom 02/04/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/04/kalau-dah-nak-bodek-pun-tak-reti.html