Kalau Anak Takut Nak Ke Tadika Taska Jangan Biarkan Cari Puncanya
Ramai yang bertanya mengenai isu anak-anak tidak mahu ke tadika kerana cikgu tersangat garang, marah-marah dan kuat menghukum fizikal dan kata-kata kasar.
Ini jawapan Ibu Rose;
Anak-anak kecil tidak pandai menyorok perasaan mereka. Terutama jika mereka tidak berasa selamat.
Jika mereka menangis takut nak ke tadika kerana cikgu sangat garang dan sepertinya…jangan ambil mudah ketakutan anak itu.
Selidik, apakah yang sebenarnya terjadi. Betul ke guru itu sangat garang atau suara dia sahaja yang kuat sebab ramai anak murid? Jika itu halnya, maka perbetulkanlah pesepsi anak anda itu. Kenalkan dia semula kepada gurunya dan terangkan mengapa gurunya terpaksa bercakap kuat.
Jika betul cikgu itu terlalu garang dan marah-marah tidak bertempat, menghukum dengan kasar dan tidak berpatutan serta menggunakan pendekatan yang mengerunkan anak-anak kecil, berbincanglah dengan guru itu secara baik dan professional untuk dia berubah.
Jika cikgu itu masih hendak garang dan marah-marah tidak bertempat juga, maka usahlah diteruskan meletak anak kecil anda di dalam kandang singa atau harimau itu. Keluarkan dia dan cari tempat yang lebih baik. Ada banyak tadika di Malaysia ini yang memberi latihan baik kepada para guru mereka.
Ramai para guru yang sayang dan sabar mendidik anak-anak murid mereka. Cari mereka dan biarlah mereka ini yang mendidik anak-anak anda. Mereka layak mendidik anak-anak bakal pemimpin ummah ini. Dan jangan beri anak anda kepada mereka yang mengunakan kerja mereka untuk melepaskan marah di hati mereka kerana kecewa dengan kehidupan mereka lalu melepaskan kepada anak-anak kecil yang tidak berdosa!
Ketahuilah anda ada kuasa untuk menentukan apakah jenis tadika yang boleh terus maju dan bertapak di negara ini dengan memilih tadika yang layak mendidik anak-anak kecil ini dengan baik.
Bagi yang beranggapan, biarkanlah anak-anak kecil itu menjadi tough sikit….hmmm…. kalau cikgu tu marah bertempat dan marah dengan berhemah, ia akan melahirkan toughness for the right reason di dalam perwatakan anak.
Tapi kalau guru itu garang dan marah-marah tidak bertempat, menghukum dengan kasar dan tidak berpatutan serta menggunakan pendekatan yang mengerunkan anak-anak kecil serta menjadikan anak-anak kecil itu ‘punching bag’ mereka, itu tidak akan menjadikan anak anda tough, tetapi jadi hati keras, rosak hati, rosak jiwa kerana perkembangan EQnya terbantut!
Dari mana anak-anak kecil belajar mengenai perasaan, emosi dan cara mengawalnya?
Ya, dari orang-orang dewasa di sekeliling mereka. Nah, jika mereka di kelilingi oleh orang-orang dewasa yang tidak tahu mengawal perasaan…agak-agaknya apa yang anak itu belajar? Lepas itu anda ibu bapa pening kenapa anak-anak anda menjadi degil atau mudah menangis, suka bergaduh dengan adik beradik dan mula marah-marah dengan anda dan orang di sekeliling mereka. Bila tidak dapat apa yang dihajati, maka marah-marah adalah solusi mereka.
Maka, nak terus letak lagi anak-anak anda di dalam kandang harimau tu atau hendak selamatkan dia?
Bunyi macam Ibu marahkan? Ya Ibu marah sebab tidak sepatutnya anda meletakkan anak-anak anda di dalam tempat sebegitu. This is TOUGH LOVE. Ramai lagi guru-guru yang baik akhlak dan hati mereka. Mereka ini memang jiwa pendidik.
Janganlah memberi anak anda kepada orang yang tidak suka apa yang dia lakukan dan melakukan dengan terpaksa…itulah sebabnya dia asyik marah-marah tidak bertempat.
Namun, Ibu bukan menyuruh anda membenci guru-guru yang sedemikian. Rasalah belas kepada mereka kerana mereka itu sebenarnya ‘sakit’ di dalam diri mereka. Doakan sahaja mereka akan tersedar dan dapat memperbaiki diri. Kasih sayang anda kepada insan beginilah yang boleh menyedarkan mereka, dengan izin Allah. Itu pun jika mereka itu mahu berubah.Namun, buat masa mereka masih belum, selamatkan anak anda!
*Ingatlah bukan semua guru garang tidak bertempat. Ramai yang baik dan berjiwa pendidik. Oleh itu jangan kutuk profession perguruan ini. Ianya mulia. *
Apa yang kita tidak suka ialah perbuatan sesetengah guru kerana mereka tidak menghayati apakah maksudnya seorang pendidik itu. Mereka tersalah cara yang boleh membawa kepada kerosakan kepada hati dan jiwa kanak-kanak kecil itu yang sepatutnya mereka bina. Doa Ibu agar Allah memberi mereka ini petunjuk.Marilah doakan bersama-sama.
Syabas kepada para guru yang mendidik penuh sedar diri, kasih sayang, bertanggungjawab dan berwawasan tinggi.
Anak anda adalah tanggungjawab anda memastikan keselamatan dan pertumbuhan dirinya.
Kredit: Ibu Rose
The post Kalau Anak Takut Nak Ke Tadika/Taska, Jangan Biarkan! Cari Puncanya appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kalau-anak-takut-nak-ke-tadika-taska-jangan-biarkan-cari-puncanya/