Jual Organ Manusia Reman Peniaga Dilanjut Lima Hari Lagi
fazleensafina Suspek mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram 									  	 	   

		  			 			    KUCHING – Seorang lelaki yang direman polis sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan  berhubung aktiviti pemerdagangan organ manusia bagi pasaran  antarabangsa, diperintahkan hari ini, direman lima hari lagi  memandangkan siasatan kes itu belum lagi selesai.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah  Kuching yang bertindak sebagai Majistret, Dora Undau mengeluarkan  perintah itu terhadap lelaki berusia 48 tahun itu berikutan permohonan  yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.
Suspek dibawa ke mahkamah hari ini  selepas perintah tahanan reman pertama selama tujuh hari tamat semalam,  selepas dia tampil menyerah diri pada 13 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Kuching.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk  Dev Kumar M M Sree dalam kenyataan selepas lelaki itu ditahan, berkata,  suspek menyerah diri di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu  polis berikutan pendedahannya kepada akhbar tabloid Britain bahawa dia  adalah broker aktiviti jual beli organ manusia.
Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun  melaporkan lelaki itu telah memberitahu kepada wartawannya yang   menyamar, bahawa suspek adalah broker pemerdagangan organ manusia yang  diperoleh daripada mangsa miskin.
Dalam artikel itu, suspek memberitahu  kepada wartawan berkenaan yang dia boleh mengaturkan pakej  pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos  85,000 Pound Sterling (kira-kira RM469,977).
Dia juga dilaporkan mendalangi 45  penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook  untuk mempengaruhi mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ  mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. -Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/jual-organ-manusia-reman-peniaga.html